Berita

Pelabur hilang keyakinan jika kerajaan rejim korup, zalim

PETALING JAYA, 13 JULAI – Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu faham bahawa keyakinan pelabur terhadap Malaysia hanya akan hilang jika negara ini diperintah oleh rejim yang korup, zalim dan ganas, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Menurutnya, pelabur-pelabur antarabangsa sudah lama faham tentang perlunya kebebasan dan demokrasi untuk menggalakkan kemajuan serta pertumbuhan ekonomi, dan mereka akan menolak pandangan Presiden MCA itu yang mendakwa perhimpunan aman boleh menjejaskan kemasukan pelaburan ke Malaysia.

Sekarang di kebanyakan negara seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan yang sering diadakan rapat umum serta perhimpunan aman, ia tidak pernah menjejaskan prestasi ekonomi mereka.

Malah negara yang menghadkan hak asasi dan amalan demokrasi seperti Malaysia lah yang sentiasa berangan-angan mahu maju seperti negara-negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Wanita MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan telah mendakwa kononnya industri pelancongan neagra rugi kira-kira RM100 juta kerana perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu lalu.

Seperti tidak mahu kalah dengan kenyataan ketua pergerakan wanita parti itu, Dr Chua sebagai pemimpin MCA pula mendakwa kerugian adalah jauh lebih besar dari jumlah itu dan ia telah menakutkan pelabur luar negara.

Dr Chua Soi Lek buat-buat tidak nampak pula dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang mana keadaan huru-hara telah dicetuskan oleh tindakan ganas dan agresif polis terhadap peserta yang berhimpun secara aman.

Yang dikatakan “kekacauan” itu berlaku hanya apabila rakyat yang berhimpun terpaksa berlari mencari tempat perlindungan apabila polis menembak gas pemedih mata dan memancutkan air deras terhadap mereka,” kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Selain itu, katanya, kerajaan Barisan Nasional juga beresalah kerana enggan meluluskan permit kepada Bersih untuk mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Keadaan itu menyebabkan peserta perhimpunan aman tidak ada tempat lain untuk pergi kecuali mengharungi ibu kota yang sudah pun dipenuhi oleh polis yang lengkap dengan peralatan untuk bertindak keras terhadap rakyat, tambah beliau.

Dengan hujah-hujah itu, kerajaan BN lah yang bertanggungjawab mengepung ibu kota yang menyebabkan kerugian yang didakwa itu, kalau pun ia benar-benar berjumlah RM100 juta. Entah dari mana angka itu diperolehi pun kita tidak tahu.

Jika polis bekerjasama dengan Bersih untuk menentukan jalan bagi pergerakan dan perhimpunan secara aman, tentunya perniagaan di ibu kota akan untung besar serta dapat mempromosikan pelancongan tempatan,” katanya.

Lebih 50,000 rakyat Malaysia menyertai perhimpunan aman itu walau pun cuba digagalkan oleh pihak berkuasa melalui ancaman dan ugutan yang disiarkan sejak beberapa minggu sebelumnya oleh media massa yang dikuasai oleh UMNO dan BN.

Menurut Pua, nada Dr Chua mengkritik Bersih sebagai punca pelabur hilang keyakinan, tidak ubah seperti bahasa rejim diktator yang mahu mengekalkan kuasa dengan menekan rakyat sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa hari menjelang perhimpunan aman Bersih, walau pun kerajaan BN telah membuat pelbagai ancaman dan ugutan, Indeks Komposit Bursa Malaysia sedikit pun tidak terjejas dengan amaran kononnya akan berlaku huru-hara.

Malah Indeks Komposit naik daripada 1,582.35 pada Isnin 4 Julai kepada 1,594.74 pada Jummat 7 Julai, sehari sebelum Bersih 2.0 diadakan. Peniaga dan pelabur tidak mempedulikan ancaman kerajaan BN kononnya negara akan huru-hara,” katanya.

Beliau menasihatkan Dr Chua supaya berhenti daripada mengelirukan rakyat dengan cerita dongeng dan ugutannya.

Menurutnya, Presiden MCA itu sepatutnya menerima dan mengamalkan prinsip demokrasi dan bersuara bagi pihak rakyat yang dahagakan kebebasan dan keadilan serta mahu peluang saksama dalam semua bidang termasuk ekonomi, dan bukannya menghina hasrat dan aspirasi rakyat. – Roketkini.com