Berita

UMNO, BN tak habis-habis rasis

KUALA LUMPUR, 13 JULAI – Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam sekali lagi memaparkan kecetekan minda dan sikap perkauman dengan menghina masyarakat Cina sebagai kaum yang suka bermain judi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan bahawa walau pun judi tidak pernah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Cina, pemimpin UMNO seperti Ali masih lagi dikongkong sikap rasis yang tidak tahu menghormati rakyat Malaysia yang berbeza kaum dan agama dengan mereka.

“Oleh kerana Ali dan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional tidak dapat menjelaskan mengapa mereka masih mengeluarkan lesen perjudian, maka mereka cuba untuk menuding kesalahan kepada masyarakat Cina.

“Ini adalah satu lagi contoh yang jelas pemimpin-pemimpin BN tidak menghormati rakyat Malaysia. Apabila mereka berhadapan dengan tekanan dan percanggahan pendapat umum, mereka sekali lagi menggunakan satu-satunya saluran yang mereka tahu, iaitu politik perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, kesan daripada perhimpunan aman Bersih 2.0, UMNO mula bermain sentimen Melayu dengan mendakwa bahawa masyarakat Melayu telah menjadi hamba dan dipergunakan oleh pihak tertentu untuk memenuhi agenda bukan Melayu.

Untuk membuktikan tuduhan tersebut, katanya, mereka mendakwa bahawa hampir semua peserta dalam perhimpunan tersebut terdiri daripada orang Melayu manakala orang bukan Melayu berdiri di belakang.

“Semua dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar kerana rakaman video dan gambar- gambar perhimpunan Bersih 2.0 boleh diperolehi secara online dan media antarabangsa juga turut memaparkan penyertaan berbilang kaum.

“Malah, salah satu pujian yang utama kepada perhimpunan tersebut adalah semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina atau India, berbeza umur dan latar belakang sosial, mempunyai ketabahan dan keberanian untuk mempertahankan hak-hak mereka ketika berdepan dengan polis,” tambahnya.

Guan Eng berkata UMNO dan kumpulan-kumpulan perkauman yang seangkatan dengannya kemudian mengalihkan sasaran ke atas masyarakat India dengan menyerang Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Menurutnya, pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali serta Ali Rustam sendiri telah mendesak supaya kerakyatan Ambiga dibatalkan, walau pun tuntutan sedemikian melanggar Perlembagaan Persekutuan serta berunsur hasutan.

Perkasa sebelum ini telah menyebarkan kempen melalui poster yang menuduh Ambiga sebagai “wanita Hindu yang merbahaya”. Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata pemimpin-pemimpin BN telah menghina masyarakat Melayu, kemudiannya mengherdik masyarakat India dan sekarang masyarakat Cina smenjadi mangsa.

“Adakah ini yang dimaksudkan dengan 1Malaysia? Sekiranya BN betul-betul menghormati seruan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, maka mereka perlu memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia atas penghinaan yang dilakukan,” tambah beliau.

Semalam, semua Ahli Dewan Undangan Negeri DAP digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Melaka atas pendirian mereka yang menuntut Ali supaya menarik balik dakwaan beliau bahawa judi adalah sebahagian daripada budaya kaum Cina.

Mereka yang digantung daripada menghadiri sidang DUN semalam adalah Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh), Betty Chew (Kota Laksamana), Lim Jack Wong (Bachang) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir). Pada hari Isnin, Adun Kesidang Goh Leong San yang juga Pengerusi DAP Melaka juga digantung atas alasan yang sama.

Menurut Guan Eng, para pemimpin UMNO dan BN bukan sahaja tidak merasa bersalah dengan kenyataan perkauman mereka, malah terus mengguris perasaan orang lain dengan menuduh kononnya kaum Cina suka bermain judi.

Katanya UMNO dan BN terus bermain isu perkauman kerana mereka berasa terancam apabila berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat telah berkumpul secara aman melalui perhimpunan Bersih 2.0 untuk membantah sistem pilihan raya yang kotor dan tidak adil. – Roketkini.com