Berita

UMNO halang penganut agama lain dekati Islam

SHAH ALAM, 14 JULAI – Perlakuan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang menghalang seorang Adun DAP daripada memetik petikan hadis dalam sidang Dewan Negeri, mencerminkan mentaliti cetek UMNO terhadap Islam.

Adun Sekinchan Ng Suee Lim berkata, tindakan Satim menyekat beliau menyebut petikan hadis adalah untuk menunjukkan kononnya agama Islam itu adalah hak milik UMNO sahaja.

“Islam merupakan agama yang bersifat global, iaitu untuk semua, dan sesiapa pun boleh mempelajari ajaran Islam.”

“Saya tak pernah berniat hendak memperlekehkan atau mempersendakan agama Islam kerana bagi saya Islam adalah agama yang murni,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Ng lagi, tindakan Satim itu ternyata salah dan berdasarkan pemikiran yang sempit.

“Bila dia sekat saya dari memahami Islam, itu jelas bercanggah dengan budaya Islam sendiri,” katanya.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 pada Selasa lalu, Ng menyatakan bahawa beliau mahu membacakan sebuah hadis sebagai hujah untuk menyokong perbahasannya.

Hujah Ng adalah untuk menjelaskan mengenai Skim Mesra Usia Emas yang mencapai perkembangan memberangsangkan tanpa sebarang rungutan oleh para peserta dan penerima skim tersebut.

Namun, belum pun beliau sempat memetik hadis tersebut, Satim telah mempertikaikan tentang kesahihan hadis yang belum dibacakan Ng itu.

Satim ketika ditemui wartawan dipetik sebagai berkata: “Kenapa Ng mahu membicarakan mengenai hadis agama Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada agama itu sendiri.”

Bagaimana pun, Ng berkata sebagai seorang yang bukan beragama Islam, jika disekat untuk memahami Islam, sampai bila-bila pun orang bukan Islam tidak akan memahami Islam.

“Kalau orang ramai tidak memahami Islam, bagaimana mereka hendak mendapat hidayah?” soalnya.

Apabila Satim dan Adun BN Kuang Shukur Idris menimbulkan kekecauan dalam Dewan dengan tidak mahu membenarkan sesi diteruskan, Speaker Teng Chang Khim tidak ada pilihan kecuali mengarahkan mereka keluar Dewan.

Dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, beliau menyelar tindakan Shukur yang menjerit-jerit dalam Dewan dengan mengeluarkan perkataan kesat seperti ‘bodoh’ kepada Speaker.

“Lebih malang lagi, sikap Ketua Pembangkang tidak ubah seperti ‘tin kosong’; hanya berbunyi tetapi hampas isinya.

“Rakyat Selangor yang kini dewasa politiknya pasti akan menjadikan hari ini sebagai kayu ukur bagi menentukan nasib mereka pada Pilihanraya Umum ke-13.

“Sesungguhnya tanggungjawab kita semua menjaga kemuliaan Dewan yang mulia ini dan jangan sampai ianya tercemar sekali lagi,” katanya. – Roketkini.com