Berita

GST: Dari sudut mana sekali pun, rakyat yang menanggung beban

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Rakyat perlu menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional kerana telah terbukti pemerintah gagal menggunakan wang rakyat secara amanah dan bertanggungjawab.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata bahawa oleh kerana sudah banyak  kes rasuah dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan BN, mereka tidak berhak meminta lebih wang dan cukai daripada rakyat.

“Kini pun ramai orang tidak mampu membayar cukai. Statistik menunjukan bahawa 75 peratus daripada pekerja sekarang tidak mampu untuk membayar cukai pendapatan.

“Jika GST dilaksanakan, semua lapisan masyarakat tidak kira latar belakang dan status, kesemuanya terpaksa membayar cukai. Dan sistem percukaian ini tidak adil terutamanya kepada mereka yang miskin,” katanya di forum bertajuk ‘GST dan Inflasi’ di sini malam tadi.

Turut hadir dalam forum itu ialah Ketua Eksekutif Majlis Ekonomi Selangor, Rafizi Ramli (PKR), Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS).

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara membidas alasan Kementerian Kewangan kononnya harga akan turun jika GST diperkenalkan, kerana ia sebenarnya menghapuskan insentif untuk syarikat mengurangkan harga barangan mereka.

Menurutnya, walau pun cukai itu lebih rendah atau jika cukai diturunkan sekalipun, pengurangan itu tidak akan dinikmati oleh pengguna.

“Contohnya, kad telefon pra-bayar RM10 dengan kadar 6 peratus cukai kerajaan yang kini ditanggung syarikat telekomunikasi, jika dikurangkan 4 peratus melalui GST, adakah penjimatan 2 peratus akan dinikmati pengguna? Jawapannya tidak.

“Begitu juga dengan harga minyak. Apabila harga minyak naik, harga teh tarik pun naik. Tapi bila harga minyak turun, adakah harga teh tarik diturunkan?

“Teori dan realiti tidak sama. Jika harga barang sudah ditetapkan tinggi, dan pembeli membeli dengan harga tersebut; jika harga kos syarikat dikurangkan, harga jualan barangan tetap tidak akan turun,” jelasnya.

Beliau mencadangkan kerajaan BN supaya lebih bertanggungjawab terlebih dahulu menjaga wang rakyat dan memikirkan keperitan rakyat sebelum membebankan rakyat dengan cukai yang baru seperti GST.

Dr Dzulkefy yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS turut menyokong pendapat Pua dengan menyatakan bahawa GST akan menyusahkan rakyat selagi BN gagal menangani masalah rasuah, kebocoran dan pembaziran wang.

Katanya, GST merupakan satu cukai yang berbentuk regresif yang secara tidak langsung memberi faedah kepada orang yang lebih kaya.

“Melalui GST, kerajaan mencukai setiap orang yang menggunakan sesuatu. Dari celik mata ke tidur malam, segala pekara yang kita lakukan akan dikenakan GST.  Selama 24 jam hidup kita akan dikenakan GST,” katanya.

Menurutnya, kos melaksanakan GST juga besar sebagaimana yang berlaku di Australia di mana cukai yang sama mengakibatkan kerajaan di negara itu membelanjakan AUD2 bilion semata-mata menyediakan infrastruktur pelaksanaan sistem cukai.

“Kerajaan BN juga membohongi rakyat. Cukai perkhidmatan dan jualan yang ada hari ini adalah pada kadar 5 peratus dan BN ingin melaksanakan GST pada 4 peratus. Jika GST dikenakan pada 4 peratus, sesungguhnya ia tidak mencukupi bagi menampung kos pelaksanaannya, apatah lagi menambah hasil.

“Dalam keadaan ini, tentunya kadar GST itu sudah pasti akan dinaikkan oleh kerajaan BN,” ujarnya. Sambil menambah bahawa kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa GST perlu berada pada kadar 25 peratus kerana ia melibatkan kos pelaksanaan.

Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR menegaskan Pakatan Rakyat menolak GST kerana ia merupakan sistem percukaian yang tidak adil serta membebankan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Jika seseorang berpendapatan RM1,000 sebulan, mereka akan menggunakan 90 peratus gaji untuk membeli makanan dan keperluan harian, dan jika GST dilaksanakan dengan kadar 4 peratus, maka orang itu harus membayar cukai RM36.

“Bandingkan pula dengan seorang eksekutif bergaji RM20,000 sebulan yang berbelanja RM10,000 untuk keperluan bulanan, GST 4 peratus yang dikenakan kepadanya hanyalah 2 peratus dari pendapatan bulanan asalnya RM20,000.

“Dengan ini, orang miskin membayar 3.6 peratus gajinya kepada GST manakala orang kaya hanya 2%,” jelas beliau.

Katanya, GST hanya patut dibincangkan jika sistem percukaian dibetulkan dan rasuah ditangani terlebih dahulu.

Rafizi pula menjelaskan bahawa dengan pelaksanaan GST, kesemua transaksi harian akan dikenakan cukai melainkan yang dikecualikan.

“Jika dikecualikan sekali pun, contohnya barang makanan asas, ia hanya di peringkat jualan. Dalam proses menghasilkan makanan tersebut, setiap proses pembuatannya akan menarik cukai melalui GST kerana setiap pekara akan dikenakan cukai.

“Lantas, harga barangan tersebut tetap akan naik. Yang menanggungnya ialah setiap orang yang menggunakan barang dan perkhidmatan yang ada,” tambahnya.

Ahli-ahli panel juga bersetuju untuk Pakatan Rakyat menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan isu GST kepada rakyat supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan muslihat politik BN. – Roketkini.com