Rencana

Deklarasi Setapak – Oleh Mazir Ibrahim

Bahagian Pertama

“Apa yang engkau tahu tentang DAP?”

“DAP adalah sebuah parti serpihan PAP (Singapura). Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, DAP ditubuhkan di Malaysia. Parti ini ada kaitan dengan idealisme komunis yang dibawa dari tanah besar China. Buktinya majoriti ahli DAP adalah kaum Cina.”

Ini adalah antara dialog tipikal yang biasa kedengaran apabila orang-orang Melayu bercakap tentang DAP atau Parti Tindakan Demokratik yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1966.

Dalam dialog ringkas tersebut, terdapat dua perkara penting:

  1. Fakta asas atau maklumat yang paling umum tentang parti DAP sudah salah, yang masih menunjukkan bahawa wujud satu persepsi negatif terhadap DAP telah ditanam dan dibentuk ke dalam pemikiran masyarakat Melayu khususnya oleh UMNO dan Barisan Nasional.
  2. Pengetahuan umum masyarakat Malaysia, termasuk orang Melayu, yang masih banyak menerima maklumat daripada propaganda yang menyamar sebagi berita dalam media massa kawalan UMNO-BN serta menerima hujah kedai kopi untuk memahami politik.

Memetik ungkapan terkenal perintis laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg “By giving people the power to share, we’re making the world more transparent.” (Terjemahan: Dengan memberi  kuasa kepada rakyat untuk berkongsi, kita menjadikan dunia lebih telus)

DAP sebagai sebuah parti politik yang sah mahu terlibat dalam dunia serba telus ini. Kewujudannya adalah berprinsipkan demokrasi sosial yang mementingkan keadilan dan hak serta peluang saksama untuk semua tanpa mengira kaum dan agama.

Setahun selepas penubuhannya, DAP mengumumkan Deklarasi Setapak 1967 yang menggariskan prinsip perjuangannya yang mengimpikan Malaysia milik kita bersama yang berteraskan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk.

Mengapa perlu wujud Deklarasi Setapak

Deklarasi Setapak dibuat sewaktu Perang Vietnam berada di kemuncaknya. Parti Komunis Malaya yang telah diusir ke dalam hutan sejak 1960 mendapat semangat baru dengan bantuan Parti Komunis China yang sedang kegilaan Revolusi Kebudayaan di bumi China.

Penyokong-penyokong komunis pada masa itu mengkritik DAP kerana DAP menolak komunisme, dengan menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menetapkan sistem negara yang berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Suasana politik Malaysia pada 1967 begitu panas dengan isu-isu politik termasuk soal perkauman yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. Pada tahun 1967 juga, sasterawan Abdullah Hussain menulis sebuah novel bertajuk Interlok.

Ini merupakan satu sejarah penting yang dirakam dalam waktu yang begitu meruncing pada ketika itu. DAP mengambil langkah cepat dan tepat untuk menjelaskan pendirian mereka dalam arus politik perdana di Malaysia.

DAP bukanlah sebuah parti yang bersimpati kepada komunisme, tidak berkongsi idea atau ideologi dengan mana-mana parti komunis dan menolak sebarang usaha yang memperjuangkan kewujudan sebuah negara komunis atau republik.

Dengan Deklarasi Setapak 1967, DAP dengan jelas menjarak dan memisahkan perjuangan politik mereka dengan apa jua elemen komunis yang pro kepada kegiatan subversif atau yang menggunakan kekerasan.

Antara yang disebut dengan cukup jelas:

“Kami menyarankan semula bahawa DAP sanggup dipimpin oleh perspektif dan hasrat Malaysia yang tulen. Kami tidak boleh membiarkan diri kami dibias dari haluan asal sama ada oleh reaksioner dan kumpulan haluan kiri, atau pun oleh sayap kiri yang anti-Malaysia dan yang didorong oleh orang asing. Kami juga tidak boleh membiarkan diri kami dimanipulasikan oleh kedua-dua kumpulan yang tersebut.”

Latar belakang kelahiran deklarasi

Selepas pemecatan Singapura dari Malaysia (setelah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ditekan oleh kumpulan ultra Melayu dalam UMNO), parti PAP secara automatik menjadi sebuah parti negara asing. Pada ketika itu, ahli-ahli dan aktivis parti harus memilih sama ada mahu menjadi warga Singapura atau Malaysia.

Sebilangan tokoh-tokoh politik muda pada masa itu yang bergiat di Semenanjung seperti C.V. Devan Nair, Dr. Chen Man Hin, Lim Kit Siang, Goh Hock Guan, John Fernandez, Mohd Nor Jetty dan  Daeng Ibrahim telah memilih untuk berjuang di Malaysia pasca 1965.

Hanya Devan Nair yang dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang pertama pada 1966 kemudian memilih untuk kembali aktif di Singapura. Bagi tokoh-tokoh lain, mereka memilih dan mengutamakan negara berbanding parti. Ini menjadi simbol sebagai demokrat tulen dengan semangat patriotisme.

Mereka menubuhkan DAP bukan untuk menyambung perjuangan PAP. Yang diambil sebagai prinsip adalah dasar-dasar demokrasi yang menolak perkauman serta mengajak perpaduan tanpa memisah-misahkan rakyat mengikut warna kulit.

Mengapa tokoh-tokoh DAP tidak memilih UMNO, MCA atau MIC, atau di barisan kiri seperti Parti Rakyat atau Parti Buruh?

Jawapannya cukup mudah iaitu, parti-parti yang membentuk gabungan pemerintah Perikatan itu adalah parti yang berasaskan kaum. Maka, itu tidak selari dengan agenda integrasi nasional. Begitu juga parti-parti kiri yang terlalu mirip kepada agenda komunisme, terutamanya Parti Buruh yang ditubuhkan pada awal 1950-an sudah diresapi elemen komunis sejak pertengahan 1960-an.

Maka munculah DAP yang mana dimensinya adalah parti berbilang kaum yang berteraskan ideologi demokrasi sosial, atau pada masa itu menggunakan istilah sosialisme demokratik, iaitu agenda sosialis yang bersifat sederhana yang memilih jalan Parlimen sebagai penentu kuasa rakyat, dan bukan melalui revolusi atau keganasan.

Apa beza DAP dan PAP

Jelasnya, memang wujud rentetan peristiwa sejarah DAP yang mempunyai kaitan dengan PAP di Singapura tetapi ia tidak mempunyai kesinambungan dari aspek perjuangannya.

Dasar PAP Singapura tidak diterima di Malaysia tetapi dasar DAP bersesuaian dengan politik dan Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, sudah tentu Pendaftar Pertubuhan tidak akan meluluskan penubuhan DAP di Malaysia.

Inilah titik pemisah di antara PAP dan DAP. Malah, orientasi politik PAP untuk mengekalkan kuasa lebih menyamai orientasi politik UMNO di mana kedua-dua parti ini mewujud dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tujuan politik.

Kalau dibandingkan hari ini, dari segi kawalan politik dan kongkongan kebebasan bersuara, UMNO-BN adalah lebih rapat dengan PAP berbanding DAP yang memperjuangkan kebebasan dan hak-hak demokrasi dalam erti kata yang sebenar.

Nuansa di antara PAP dan DAP ini harus dapat dibezakan oleh mereka yang matang dalam melihat makna di sebalik peristiwa yang telah berlaku. Menelan bulat-bulat “berita” yang sebenarnya propaganda pemerintah hanya akan melumpuhkan minda rakyat.

Amanah dalam Deklarasi Setapak

Dasar-dasar asas DAP telah ditekan dalam Deklarasi Setapak 1967, antaranya:

“Jika kami hendak memperbetulkan prinsip pembangunan negara di sebuah masyarakat berbilang kaum, maka perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti. Usaha yang sedemikian mesti ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali, atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.”

Paling utama dalam pembinaan semua negara ialah merapatkan jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin. Ketidakadilan sosial akan menjadi senjata pemusnah umat, iaitu kemiskinan yang berlaku kerana tempias korupsi, salah guna kuasa, penyelewengan, kronisme, menjual agama dan maruah bangsa serta merosakkan keamanan melalui perkauman dan politik ekstrem.

“DAP akan terus memperjuangkan penerimaan, penyebaran, dan pembangunan bahasa kebangsaan, kami tidak akan menerima polisi bahasa dan pendidikan yang beranggapan bahawa kedudukan dan penyebaran bahasa kebangsaan hanya akan terjamin selepas budaya dua kaum utama di negara ini – iaitu kaum Cina dan India — dimusnahkan sama sekali.”

 

Secara jelas, DAP bukan sekadar mempertahankan status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, malah DAP turut tidak mahu bahasa-bahasa lain diketepikan, sama ada sebagai bahasa pengucapan atau pembelajaran.

Sejak dahulu hingga sekarang, DAP terus berjuang untuk mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walau pun pertistiwa-peristiwa tertentu dan tekanan-tekanan politik telah menyebabkan kelembapan dalam menterjemahkan dasar itu sebagai amalan.

Dengan maksud, walau pun masih ramai kalangan pemimpin dan ahli DAP dilihat kurang mahir berbahasa Malaysia, usaha gigih untuk mengamalkannya tidak pernah diabaikan. Dan usaha ini tentunya akan berjaya dengan sokongan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Secara ringkasnya, kesemua dasar-dasar DAP ini merupakan aspirasi rakyat yang diamanahkan kepada DAP. Sebagai sebuah parti politik yang universal dasarnya, inilah amanah yang wajib dipegang dan dilaksanakan.

Malah, sejak kebelakangan ini, sudah muncul dialog yang lain pula di kalangan orang Melayu.

“DAP bukan parti perkauman. Walau pun majoriti ahlinya masih dari satu kaum, mereka tidak memperjuangkan untuk satu kaum. Ia adalah parti demokratik bukan perkauman yang berjuang untuk semua kaum.

“Lihat sahaja pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP. Tidak ada Melayu yang dipinggirkan. Semua kaum dibela. Sedangkan UMNO jelas parti untuk satu kaum sahaja. Dan orang Melayu rakyat biasa hanya melopong melihat keluarga dan kroni pemimpin besar meraih kekayaan negara dan wang rakyat.” – Roketkini.com

Bahagian 2

Bahagian Akhir