Berita

Negara-negara jiran makin pulih, Malaysia makin teruk dengan rasuah di bawah UMNO-BN

KUALA LUMPUR, 7 DIS – Sementara negara-negara jiran yang terkenal dengan amalan rasuah sejak lebih sedekad lalu telah mula pulih, Malaysia semakin merudum tersungkur di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang meramalkan bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) anjuran Transparency International (TI) untuk Malaysia akan jatuh teruk ke tangga 80 berbanding kedudukan pada paras 60 pada tahun ini.

“Negara-negara Asia yang sebelum ini di bawah ranking TI sedang meningkat naik sementara Malaysia pula dengan menurun dengan pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, China, Thailand dan Indonesia adalah contoh negara-negara yang sedang pulih dari masalah rasuah apabila rakyat mereka berjaya mendesak kerajaan untuk mengamalkan pentadbiran yang lebih bersih.

Menurutnya, China pada tahun 1995 berada di tangga ke-40 dengan markah CPI 2.16 daripada 41 negara yang ditinjau oleh TI. Kini China berada di tangga ke-75 daripada 183 negara dengan markah CPI 3.6

Pada masa yang sama, Malaysia yang menduduki tangga ke-23 pada 1995 telah merosot kepada tangga ke-60 tahun ini, yang terburuk dalam sejarah negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Kit Siang berkata, secara purata tahunan, pemulihan China dari rasuah dan kemunduran Malaysia dengan rasuah sejak 17 tahun dahulu menunjukkan bahawa negara komunis itu bukan sahaja mengejar Malaysia, malah akan jauh meninggalkan Malaysia di belakang hanya dalam masa empat tahun mendatang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia jatuh ke tangga 11, di mana ia berada di belakang Singapura dan Brunei di rantau ini.

Mengikut laporan TI 2011 bagi rantau Asia Pasifik (dalam kandungan adalah tangga kedudukan manakala nombor di sebelahnya adalah markah CPI):

New Zealand (1) 9.5

Singapura (5) 9.2

Australia (8) 8.8

Hong Kong (12) 8.4

Jepun (14) 7.8

Taiwan (32) 6.1

Bhutan (38) 5.7

Korea Selatan (42) 5.4

Brunei (44) 5.2

Macau (46) 5.1

Malaysia (60) 4.3

“Malaysia adalah negara terkecuali dan tekebelakang dalam TI CPI sejak 1995 sementara negara-negara lain bertambah maju dalam usaha melawan rasuah.

“Inilah sebab kenapa perlu ada perubahan dalam kerajaan persekutuan dalam pilihan raya akan datang, kerana hanya kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya sahaja mempunyai keupayaan politik yang tinggi untuk menghapuskan rasuah,” katanya. – Roketkini.com