Rencana

Deklarasi Setapak II – Oleh Mazir Ibrahim

Bahagian Kedua: Ekonomi dan pendidikan

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

 

“Bro, deklarasi tu apa?”

“Erm, lebih kurang perisytiharan la, tau?”

“Oh, kalau aku kata aku isytiharkan…maknanya aku mendeklarasikan sesuatu la?”

“Ya, tapi…tak juga, kurang tepat dan kurang sesuai. Deklarasi ni lebih kurang satu pernyataan yang jelas, tepat, padu tapi secara ringkas…dalam bentuk kesimpulan la, faham?”

“Habis tu, isytihar tu apa pulak?”

“Isytihar tu lebih membawa makna pegumuman atau pemakluman, biasanya dibuat secara formal dan protokol, ia lebih ringkas dari deklarasi. Kalau nak umum hari perayaan, kita dengar mereka kata perisytiharan atau deklarasi?”

“Oh…macam tu”

Hanya mimpi DAP?

Selepas manuskrip Deklarasi Setapak ini dilawat kembali untuk melihat isi dan harapannya, maka munculah soalan seperti di atas. Adalah penting soalan yang dirasakan ‘bodoh’ oleh yang bertanya tentang perkataan, istilah dan konsep itu ditanyakan kembali. Bagi yang ditanya, ia baik untuk mengingatkan kembali tentang apa mereka perkatakan.

Rupa-rupanya masih wujud lagi rasa malu untuk bertanya di kalangan masyarakat kita, bimbang soalannya dianggap sebagai soalan bodoh. Ya, memang sifat kebodohan itu lebih baik disimpan daripada dipertontonkan di khalayak, namun jika ingin tahu, maka perlu ketepikan sifat ‘bodoh’ untuk mengelak dari mendapat kebodohan percuma.

Kerana sifat ingin tahulah maka generasi baru pasca Merdeka perlu melawat kembali isi kandungan Deklarasi Setapak yang berlaku pada 1967.

Kita ingin tahu sejauh mana DAP sebagai parti demokrasi sosial bermimpi dan mahu mengejar mimpi-mimpinya melalui asas perjuangan yang digariskan oleh deklarasi tersebut. Adakah mimpi itu menyimpang dari aspirasi rakyat Malaysia atau Perlembagaan Persekutuan? Atau adakah mimpi itu hanya racau DAP untuk semata-mata memeluk kuasa?

Dalam Deklarasi Setapak ini ditekankan tentang apa yang kurang, apa yang silap dan bagaimana seharusnya kelemahan dan kesilapan ini diperbetulkan agar dasar kita berada dalam landasan yang tepat demi mengejar mimpi yang sempurna. Oleh kerana ingin tahu, maka kita selak kembali tinta sejarah.

Teringat pula dengan lirik lagu kumpulan karya Peter Pan dari Indonesia, nyanyian Ariel (yang malangnya kini digelar Ariel Peterporn):

…Biarlah kubertanya pada bintang-bintang

Tentang arti kita….Dalam mimpi yang sempurna

Petikan lirik lagu Mimpi yang Sempurna

 

Reformasi ekonomi untuk meruntuh tembok perkauman

Ciri-ciri utama sebuah negara yang makmur adalah dengan wujudnya agihan ekonomi yang adil dan ditunjangi dengan matlamat pendidikan yang bagus, jelas dan praktis. Dalam mengagih sumber kekayaan negara kepada rakyatnya, negara memerlukan satu dasar dan mekanisme yang baik untuk menyalurkan kembali sumber dan hasil perusahaan negara.

Dengan kewujudan Dasar Ekonomi Baru 1971 ciptaan kerajaan Barisan Nasional (yang diperkenalkan selepas Deklarasi Setapak 1967), seolah-olah sengaja memperolokkan pandangan yang telah dibuat dalam Deklarasi Setapak, contohnya:

Seperti Malaysia, lain-lain negara sedang membangun juga menghadapi masalah jurang sosial, ekonomi dan budaya di antara kawasan bandar dan luar bandar mereka. Bagaimana pun, masalah di Malaysia menjadi lebih serius kerana pembahagian kelas di negara kita sering wujud bersama-sama dengan pembahagian perkauman.

Ini menunjukkan bahawa pada sekitar tahun 1960-an lagi, sudah ada bijak pandai kita yang telah menjangkakan akan berlakunya penyimpangan dasar kerajaan dalam melaksanakan agenda nasional khususnya dalam aspek ekonomi dan sosial.

Sejak berakhirnya zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, jurang ekonomi dan amalan dasar yang salah telah mula berlaku dan ia semakin menyimpang dari landasan sebenar seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan janji yang terisi di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan yang dibuat oleh Tunku pada 1957.

Di mulut ahli-ahli Barisan Nasional (dan sebelum itu Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC) berbuih bercakap soal integrasi nasional, malah pada 1970 diadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang bercita-cita mahu membentuk satu identiti bangsa yang baru dan satu, kononnya. Namun semua ini hanyalah retorik, malah ia adalah satu proses menerapkan hegemoni perkauman dan ketidakadilan sosial dan ekonomi.

Usaha itu sudah dihidu lebih awal lagi dalam Deklarasi Setapak:

(1) Kaum petani di kawasan luar bandar kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu, manakala golongan pertengahan di bandar dan kelas-kelas profesional kebanyakannya terdiri daripada kaum bukan Melayu.

 

(2) Fakta ini telah secara berkesannya dipergunakan pada masa-masa lalu dan masih lagi dipergunakan pada masa kini oleh ahli-ahli politik yang berfikiran perkauman dengan memainkan sentimen Melayu yang dikongkong oleh perasaan tidak selamat dan mundur demi meneruskan dominasi politik mereka yang telah dilakukan atas nama Melayu.

 

Tapi sebenarnya dilakukan untuk kelas sosial minoriti yang mereka wakili — satu kelas sosial yang keji, memikirkan kepentingan diri sendiri — iaitu kelas “kamrad-feudal”, dan rakan-rakan mereka, termasuklah pucuk pimpinan Perikatan.

Perenggan (1) telah menjelaskan realiti demografi sosio-ekonomi masayarakat zaman itu. Dan seterusnya pada perenggan (2) menunjukkan bahawa ia cukup konsisten dengan idea Perikatan yang memanipulasi senario ini dengan dasar pecah perintahnya mengikut kaum.

Jadi, apa yang DAP tawarkan sebagai langkah merawat kembali penyakit sistem yang korup ini? Ubatnya telah dijelaskan dengan bahasa paling mudah yang boleh difahami oleh semua rakyat walau pun berlainan latar belakang budaya dan pendidikan, iaitu;

Sekali lagi, berkaitan dengan pembangunan ekonomi kawasan luar bandar, tugas utama seharusnya untuk mempertingkatkan pendapatan per kapita para petani Melayu, cara yang dipilih hendaklah merupakan reformasi tanah yang radikal demi menghapuskan penindasan kejam oleh pemilik tanah dan orang tengah.

Kata kunci di sini ialah ‘reformasi tanah’. Ia idea yang telah difikirkan pada sekitar tahun 1960-an lagi. DAP telah sedikit-sebanyak mendahului zaman dengan idea reformasi.

Kita dapat melihat dengan jelas pada hari ini bagaimana pimpinan UMNO dan BN mengambil kesempatan itu dengan dan bersengkongkol bersama taikun-taikun Cina, Melayu dan India dengan ‘merompak’ tanah-tanah rakyat dengan cara yang sah di sisi undang-undang (yang mereka gubal di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di mana mereka juga menguasai majoriti).

Contoh paling ketara ialah di Tasik Utara, Johor dan Baling, Kedah sekitar tahun 1970-an di mana rakyat bangkit bersama para mahasiswa prihatin. Kita dapat lihat bagaimana sistem dimanipulasi oleh elit politik BN untuk merampas tanah dan menindas hak rakyat.

Mereformasikan sistem hak milik, kaedah dan dasar pembangunan tanah, sama ada untuk perumahan, pertanian, bandar baru atau perindustrian pasti akan dapat membantu masalah perampasan dan pemerasan terhadap pemilik tanah dan sebagainya.

Jika reformasi ini berjaya dilaksanakan, sudah pasti pendapatan, kualiti hidup, kesihatan dan pendidikan masyarakat luar bandar akan lebih baik dan meningkat. Semua ini boleh dicapai kerana mereka berupaya untuk memajukan tanahnya tanpa ada gangguan politik dalam kegiatan ekonomi mereka.

Mengajar manusia menjadi bijak dan tahu berdikari bukanlah menjadi agenda BN. Pimpinan mereka mahu rakyat sentiasa bergantung kepada kuasa politik yang sedia ada.

Reformasi pendidikan untuk menghapuskan kejahilan

Dengan adanya dasar yang baik dalam aspek ekonomi, aspek pendidikan yang baik merupakan pra-syarat bagi melahirkan manusia yang waras dan bermoral. Masalah moral bukan sekadar isu agama, budaya atau status kaya-miskin, sebaliknya ia adalah masalah pengetahuan, iaitu pendidikan yang baik dan lengkap.

Kurang berpelajaran adalah punca kejahilan, dan kejahilan akan membawa segala macam penyakit moral. Oleh itu, satu dasar pendidikan yang jelas dan praktis harus menjadi agenda rakyat.

Ini turut dititipkan dalam Deklarasi Setapak:

Kami mengesahkan pendapat bahawa polisi pendidikan Kerajaan Perikatan mempunyai kesan negatif yang membatalkan jaminan perlembagaan ke atas kebebasan penggunaan lain-lain bahasa di negara ini, dan kami menganggapnya sebagai salah satu dari objektif kami untuk menyelaraskan kembali jaminan perlembagaan dengan polisi pendidikan.

Isu asas dalam konteks pendidikan ini ialah bagaimana menerusi citra dan semangat yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, daulah seharusnya boleh membuka ruang yang luas untuk anak watan mempelajari dan memahami sesuatu, sesuai dengan ruang sosial mereka, iaitu bahasa pertuturan seharian.

Secara konsepnya, Bahasa Melayu telah diterima sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa wujud apa-apa pertikaian lagi. Tetapi dilema masyarakat kita ialah kerajaan telah menggunakan hal ini sebagai satu perisai untuk menghalalkan kecuaian mereka dalam membangunkan sistem pendidikan yang adil dan saksama kepada semua bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa-bahasa pribumi Sarawak dan Sabah.

Dalam konteks politik Perikatan dan BN, bahasa telah digunakan sebagai alat untuk memisahkan semangat perpaduan antara kaum. Mereka menggunakan perbezaan bahasa dan budaya ini sebagai alasan untuk menghalalkan tidak-tanduk politik mereka.

Sungguh pun pelajar-pelajar kita bijak dan mampu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, belum mereka tidak bersifat rasis. Buktinya cukup banyak untuk disenaraikan, termasuk suara-suara perkauman yang dituturkan oleh orang-orang profesional sewaktu perhimpunan agung UMNO.

Justeru, adakah kita harus menyalahkan bulat-bulat para pelajar ini? Sudah jelas, ada kepincangan dalam pelaksanaan dasar pendidikan kita. Hal ini harus diperhalusi dan diubati jika kita mahu masyarakat keluar dari kejahilan dan berpindah masuk ke alam celik dan waras.

Pilihan buat kita

Kerja membangunkan tamadun dan kemanusiaan bukanlah suatu usaha yang mudah apatah lagi untuk direbuti. Peranannya hanya mampu dipikul oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan yakin dengan idea dan harapan.

Memilih antara mana-mana parti untuk dijadikan kerajaan bukan lagi soal kepartian semata-mata, sebaliknya ia menjadi kewajipan bagi setiap insan yang tidak mahu dirinya dianiaya baik secara sedar mahu pun secara tersembunyi.

Kita tidak akan pernah merasa cukup selagi kita jahil. Semua parti terutamanya UMNO boleh saja beretorika dengan ungkapan seperti ini tetapi apa yang telah UMNO-BN buat setelah diberi peluang oleh rakyat untuk memerintah selama 54 tahun ini?

Mengapa masih ramai pemimpin politik menjadi semakin rasis dan semakin ekstrem pandangan agama? Apakah abad ke-21 ini tidak mampu untuk menarik keluar masyarakat daripada perangkap perkauman?

Ya, memang banyak bangunan dan jalan raya dibina oleh UMNO-BN, namun itu memang tanggungjawab mana-mana kerajaan di dunia ini.

Yang perlu ditanya dan dijawab adalah sampai bila air mata rakyat mengalir melimpah melihat hak dan kebebasan diri, keluarga dan masyarakat terus dirompak oleh pimpinan UMNO-BN. – Roketkini.com

Bahagian 1

Bahagian Akhir