Berita

Exco Pakatan Pulau Pinang akan isytihar harta masing-masing

PRAI, 11 DIS – Semua anggota Exco kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang akan mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada rakyat dalam masa sebulan.

Keputusan itu diambil oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri sebagai memenuhi pelaksanaan langkah integriti yang telah membawa kejayaan besar untuk rakyat dalam pentadbiran Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata bahawa melalui pentadbiran yang bersih, kerajaan Pakatan telah membawa semangat keyakinan dan optimisme yang baru bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga di kalangan para pelabur.

“Kesannya, Pulau Pinang telah berjaya meraih pelaburan yang tertinggi di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dengan jumlah pelaburan RM12.24 bilion. Pada tahun ini, kita hampir mencapai sasaran RM6.1 bilion dengan mencatat RM5.7 bilion setakat akhir bulan Oktober 2011,” ujarnya.

Menurutnya, antara langkah-langkah integriti di Pulau Pinang yang telah dilaksanakan ialah memastikan parti-parti politik diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan.

“Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun,” tambah beliau.

Jelasnya, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni.

“Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana penjana tenaga bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

“Kerugian RM5 bilion dalam skandal Perwaja, skandal Port Klang Free Trade Zone dan skandal saham bumiputra RM52 bilion kesemuanya berjumlah lebih daripada USD 100 bilion, iaitu jangkaan kerugian rakyat Malaysia akibat daripada penyelewengan dan rasuah,” tambahnya.

Beliau yakin langkah-langkah integriti itu boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menggariskan kejayaan-kejayaan urus tadbir kerajaan Pakatan Pulau Pinang ketika merasmikan konvensyen tahunan DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

“Dwi-kejayaan terbesar DAP dalam tempoh 45 tahun adalah menjadi rakan dalam kerajaan yang mengambil alih kuasa di Pulau Pinang dan membuktikan kecekapan kita dengan melaksanakan urus tadbir yang baik untuk negeri,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran Pakatan telah membolehkan pelbagai program sosial dilaksanakan untuk rakyat pelabgai kaum yang dibiayai melalui lebihan bajet.

Katanya, cara BN membiayai program sosial ialah dengan  meminjam wang sehingga menyebabkan ia mencatatkan defisit sejak 15 tahun lalu, dan kerana itulah BN hanya boleh memberi wang kepada rakyat setiap lima tahun sedangkan PR melaksanakannya setiap tahun.

Beliau menjelaskan, hutang-hutang BN pula telah mengakibatkan hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak 71%, daripada RM266 bilion pada akhir 2007 kepada RM456 bilion pada akhir 2011.

“Bagi Pulau Pinang, kita telah mengurangkan hutang negeri daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada hanya RM30 juta sekarang, iaitu pengurangan hutang sebanyak 95% yang bernilai RM600 juta, pengurangan hutang yang terbesar bagi mana-mana kerajaan negeri dalam sejarah Malaysia.

“Adakah kerajaan BN di Pulau Pinang sejak 51 tahun lalu telah melaksanakan apa yang kita lakukan dalam masa empat tahun sahaja, terutamanya menyediakan RM500 juta untuk Tabung Perumahan Mampu Dimiliki?” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, media-media antarabangsa yang terkenal seperti The Economist dan Bloomberg telah memuji pentadbiran kerajaan Pakatan di mana pujian itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Katanya, kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah membuat perubahan besar, termasuk menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar dengan memastikan setiap isi rumah memperolehi sekurang-kurangnya RM600 sebulan, dan kini mahu menjadi negeri pertama yang menghapuskan kemiskinan menjelang tahun 2015.

“Sekarang tiada lagi kroni atau korupsi di Pulau Pinang. Tidak ada penyelewengan wang rakyat seperti membeli kondo mewah dengan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menternak lembu.

“Yang ada hanya tender awam terbuka yang dilaksanakan melalui internet. Tidak ada lagi kabel politik kerana telah digantikan dengan kabel komputer. Pulau Pinang kini bukan sahaja bersih dan hijau persekitarannya, malah bersih pentradbirannya,” tambah beliau.

Menurutnya, pentadbiran yang bersih sahaja tidak cukup jika rakyat tidak dapat menikmati persekitaran yang bersih, hijau dan selamat.

Katanya, Pulau Pinang telah mencatat penurunan kadar jenayah yang paling tinggi di Malaysia iaitu 27% pada tahun lalu, dan dijangka mencatat prestasi yang sama pada tahun ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang juga hendak melibatkan masyarakat dalam usaha ini dengan mewujudkan polis komuniti melalui Pasukan Peronda Sukarela untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling selamat di negara kita,” ujarnya. – Roketkini.com