Kenyataan Akhbar

Kenyataan akhbar Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh : Berita Harian Salah Lapor

15 Januari 2012

Saya membaca dengan rasa sangat kecewa laporan saudara Faridzwan dalam Berita Harian edisi 14 Januari 2012 yang bertajuk ‘DAP binasakan identiti Melayu’ Sasterawan desak selamtkan warisan sejarah kerana tidak tepat dan tidak betul tentang apa yang saya sebut pada hari Khamis (112/1/2012) yang lalu.

Ada juga orang Malaysia tidak berfikir dari sudut dan untuk parti. Dan saya penulis, ingin melihat dan berfikir  dengan saksama. Harap jangan diheret saya ke kancah perkelahian politik. Pengarang ialah kata hati masyarakat dan kami ingin menjalankan tugas kami dengan jujur.

Saya tidak menyebut kerajaan BN atau DAP dan mengharap orang yang berfikir dapat meneka – tetapi selama 50 tahun lebih  orang Melayu sedikit demi sedikit lari ke Seberang,  terperosok di rumah pangsa yang sempit dan kehadiran mereka di negeri ini, terutama di pulau, semakin menipis. Ramai daripada mereka miskin dan terdesak.  Masalah yang dihadapi orang Melayu berusia lebih 50 tahun. Kerajaan sekarang baru saja beberapa tahun memerintah, dan baru saja cuba menangani masalah ini.

Saya tidak berminat menyokong kerajaan mana pun; saya pemerhati dan pengkaji orang Melayu dan orang Malaysia di Pulau Pinang, dan ingin membantu mengenengahkan masalah mereka yang malang dan tersepit. Apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun  ini ialah tragedi orang Melayu dan orang miskin.

Oleh kerana Berita Harian telah salah lapor maka saya kira Berita Harian bertanggungjawab secara etikal dan moral untuk menyiarkan  penafian saya ini.

Prof. Muhammad Haji Salleh