Berita

Bekas wartawan kanan Utusan sertai DAP

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Hata Wahari, bekas wartawan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, hari ini sah menyertai DAP. Beliau juga adalah bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Hata, 42, berkata bahawa sudah tiba masanya untuk beliau menyatakan kesediaan berpihak kepada DAP yang selama ini ditohmah dan difitnah dengan hebat oleh media arus perdana yang dikawal pihak kerajaan.

Beliau melihat misinya adalah untuk menerangkan kepada umum bahawa persepsi yang dimainkan UMNO-BN selama ini adalah tidak tepat sama sekali.

Hata menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Semakin ramai cerdik pandai Melayu menyertai DAP baru-baru ini termasuk bekas ADUN Pulau Manis, Datuk Ariff Sabri yang popular dengan blognya, SakmongkolAK47, blogger Aspan Alias yang juga bekas veteran UMNO serta tokoh akademik Prof Dr Ariffin Omar.

“Saya percaya DAP dan Pakatan Rakyat, jika memenangi Putrajaya, akan dapat menghapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, untuk mewujudkan kebebasan media di Malaysia,” katanya kepada Roketkini.

Beliau menjelaskan bahawa sebab utama beliau menyertai DAP ialah kerana beliau percaya DAP mampu membawa negara ke jalan yang lebih baik berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Beliau mengakui bahawa Utusan yang pernah menjadi majikannya memang sengaja mahu memaparkan DAP sebagai parti yang bersifat perkauman kerana itu adalah agenda dan mainan politik UMNO.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan, dengan penyertaan Hatta, diharap wartawan kanan itu dapat membantu menjana satu perubahan minda dan perubahan gerak kerja kerajaan dalam DAP dan juga Pakatan Rakyat.

“(Berdasarkan pengalamannya) beliau telah pun membuat pengorbanan demi menegakkan prinsip-prinsip kebebasan maklumat, kebebasan akhbar dan juga kebebasan untuk berfikir dan berucap,” katanya.

DAP tidak membuat sebarang perjanjian atau menawarkan apa-apa jawatan untuk Hata yang berikrar membantu perjuangan menyebarkan amalan demokrasi dan keadilan social di semua peringkat masyarakat. – Roketkini.com.