Kenyataan Akhbar

Kenyataan Media oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 18 Januari 2012

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Telah Mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri Untuk Mengeluarkan Pemberitahuan Warta Yang Mengecualikan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan Pulau Pinang Daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 Sebagai Langkah Awal Sebelum Memohon Pengisytiharan Mahkamah Untuk Memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya Untuk Menjalankan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebagai langkah awal sebelum memohon pengisytiharan mahkamah untuk memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung telah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut berunding dengan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (NCLG) sebelum mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa Pulau Pinang daripada peruntukan-peruntukan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Seksyen 15 Akta tersebut menetapkan bahawa semua undang-undang berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan adalah dibatalkan dan tidak berkuasa.

YB Menteri sepatutnya sedar dan tahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun mencuba berkali-kali untuk berunding dengan NCLG berkenaan dengan hasrat untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan. Pada 14 Julai 2009, YB Chow Kon Yeow, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, telah menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selaku sekretariat NCLG, atas perkara ini. Susulan daripada itu, pada 3 Ogos 2009 kita telah dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berancang untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pada 11 Ogos 2009, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan resolusi menyeru pihak Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan. YB Chow sekali lagi telah menulis kepada Kementerian pada 24 Ogos 2009 untuk memaklumkan resolusi Dewan Undangan Negeri dan meminta supaya perkara ini dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat ke-62 NCLG. Namun demikian, dalam surat yang bertarikh 14 September 2009, Kementerian sekali lagi enggan memasukkan topik ini dalam agenda perbincangan.

Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri telah melantik panel peguam yang terdiri daripada Dato’ Yeo Yang Poh, En Tommy Thomas dan En Malik Imtiaz. Panel tersebut telah menasihati bahawa pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan berada dalam bidang kuasa Negeri mengikut Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah disemak semula pada tahun 1991.

Pada 4 Mac 2010, saya telah menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk meminta supaya pilihan raya kerajaan tempatan dijalankan bagi MPPP dan MPSP, tetapi SPR telah menolak permintaan itu. Pada 12 Mac 2010, saya juga telah menulis kepada Perdana Menteri untuk meminta perjumpaan dengan beliau untuk membincangkan pendirian Kerajaan Negeri, namun tidak menerima maklumbalas.

Di antara tahun 1951 hingga 1965, Malaya/Malaysa telah mengamalkan sistem demokrasi tempatan di mana ahli-ahli majlis telah dipilih oleh penghuni tempatan. Pada tahun 1961, Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur yang dipilih, dan pada tahun 1965 telah mengeluarkan Peraturan Kecemasan yang menggantungkan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negeri-negeri di Malaysia, atas alasan Konfrontasi dengan Indonesia.

Perdana Menteri pada masa itu, Tunku Abdul Rahman, telah berjanji kepada Dewan Rakyat bahawa pilihan raya kerajaan tempatan akan dipulihkan selepas tamatnya Konfrontasi:

“Sebaik sahaja keamanan dan ketenangan pulih kembali kita akan segera membuat persiapan untuk pilihan raya kerajaan tempatan… Sebaik sahaja keamanan diisytiharkan saya memberi jaminan kepada Dewan bahawa pilihan raya akan diadakan.”

Konfrontasi dengan Indonesia telah berakhir pada tahun 1966, tetapi pilihan raya kerajaan tempatan tidak dipulihkan seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Perikatan (sebelum menjadi BN). Pada tahun 1968, Suruhanjaya DiRaja untuk Kerajaan Tempatan yang diketuai oleh Senator Athi Nahappan telah mencadangkan pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi cadangan ini telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada akhir tahun 2011, kedua-dua Dewan Parlimen telah meluluskan resolusi untuk membatalkan Perisytiharan-perisytiharan Darurat di Malaysia, tetapi pilihan raya kerajaan tempatan tidak dapat dipulihkan atas sebab adanya Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerajaan tempatan merupakan perkara Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 1(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengecualikan mana-mana kawasan kerajaan tempatan daripada peruntukan-peruntukan Akta tersebut. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa setelah 45 tahun sejak penamatan Konfrontasi, sudah tiba masanya untuk membebaskan Pulau Pinang serta MPPP dan MPSP daripada peruntukan-peruntukan anti-demokratik yang menghalang perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan.

Oleh itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan hari ini untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada peruntukan-peruntukan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang telah diarahkan untuk mengeluarkan pemberitahuan warta ini dan juga untuk mengeluarkan fiat melantik En Tommy Thomas untuk mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mahkamah. Selepas pemberitahuan warta, Kerajaan Negeri akan merujukkan perkara ini kepada Mahkamah.

Lim Guan Eng