Berita

Hak orang Melayu untuk sertai DAP

GEORGE TOWN, 26 JAN: Tiada siapa di dalam dunia ini dapat menghalang penyertaan sukarela orang Melayu ke dalam DAP, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Malah, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan terperanjat apabila lebih ramai Melayu menyertai DAP tidak lama lagi.

Katanya ini adalah gelombang perubahan masa kini dan tiada siapa pun mampu menghalang Melayu menyertai kaum-kaum lain bersama membentuk masa hadapan negara yang lebih hebat.

“DAP dari awal penubuhan selama 46 tahun ini tidak pernah lari dari perjuangan buat semua rakyat Malaysia, tidak kira apa kaum atau agama pun,” katanya dalam ucapan sewaktu Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebaliknya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib sendiri gagal meyakinkan kabinet beliau untuk menyokong dasar 1Malaysia yang kononnya mahu mewujudkan perpaduan dan keadilan untuk semua kaum.

“Ia adalah gambaran politik penakut sebahagian pemimpin UMNO terhadap DAP yang kerap dihentam dengan penipuan, fitnah dengan hasutan 3R (race, race and royalty – kaum, agama dan raja) yang digunakan terhadap DAP,” katanya.

Menurutnya DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 selain memberi komitmen dan keyakinan penuh kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta cadangan-cadangan dalam Buku Jingga yang juga berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau menasihatkan Najib dan Muhyiddin agar peka dan tidak keras kepala terhadap apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, dan supaya menghentikan politik 3R.

“Ini juga bukan sahaja satu cabaran terhadap konsep 1Malaysia Najib itu, malah kepada usaha Najib yang kononnya mengangkat diri sebagai ‘golongan sederhana’,” katanya. – Roketkini.com