Rencana

Kudis politik Malaysia – Oleh Mazir Ibrahim

Di Malaysia, tidak berlaku kes-kes perkauman yang menjerut mata dan hati seperti yang pernah berlaku di Amerika bermula semenjak abad ke-17 hinggalah ke lewat 1960-an.

Yang terburuk pernah berlaku pun adalah pada 13 Mei 1969 di mana terjadi pergaduhan kaum selepas pilihan raya umum. Namun sifat rakyat yang tidak suka kepada keganasan dan pertumpahan darah cepat-cepat meredakan keadaan itu.

Suka atau tidak, kita juga harus berterima kasih kepada pihak berwajib yang berjaya mententeramkan keadaan sungguh pun pihak pemerintah telah mengambil kesempatan mencari kambing hitam untuk menahan beberapa orang tokoh politik pembangkang, kononnya atas nama keselamatan negara.

Walau pun keadaan tidak seburuk di Amerika di zaman lampau, ia tidak bermakna diskriminasi perkauman tidak ada di Malaysia. Dalam maksud lain, tidak nampak secara terang-terangan tidak bermakna ia tidak wujud.

Demokrasi cacat

Politik Malaysia pada hari ini hanya berorientasikan matlamat jangka pendek atau mahu menang pilihan raya untuk merebut kuasa semata-mata. Proses demokrasi kita diterjemahkan agak sempit  bila mana kekuatan politik dikira berdasarkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sahaja.

Senario amalan demokrasi Malaysia yang sempit ialah pilihan raya lima tahun sekali. Politikus berebut-rebut mahu menjadi calon untuk mengisi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

Tahap demokrasi kita hanya ada dua peringkat, pusat dan negeri sahaja tanpa pilihan raya kerajaan tempatan (dewan bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah). Ruang kecil dan sempit ini digambarkan oleh pemerintah sebagai demokrasi.

Parti-parti yang memerintah menggubal undang-undang. Sama ada undang-undang itu adil atau tidak, ia tidak penting kerana “demokrasi” telah pun menjadi amalan. Rakyat tidak boleh bersuara sama sekali kerana undang-undang tidak membenarkan, malah tidak menggalakkan rakyat bersuara secara bebas.

Justeru, amalan referendum (pungutan suara), proses melahirkan masyarakat madani (sivil) dan demokrasi akar umbi hampir-hampir tidak wujud sama sekali. Sebaliknya, wujud jurang yang amat luas di antara pemerintah dan rakyat.

Sepanjang lima tahun (biasanya empat tahun sahaja) penggal pemerintahan, rakyat diajar supaya akur dan menerima sahaja keputusan kerajaan. Sepanjang penggal itu rakyat hanya menahan diri melihat gelagat, salah guna kuasa, penyelewengan dan perkauman yang berlaku, dan semuanya itu disahkan sebagai “harus” oleh media massa yang dikawal pemerintah.

Hegemoni demokrasi cacat

Maka budaya politik kita sempit dengan perjuangan yang hanya mahu menang semata-mata tanpa mempeduli nilai moral dan kesan budaya baik kepada pengamal politik mahu pun masyarakat.

Jalan mendapat kemenangan yang mudah dan cepat adalah dengan kempen pecah perintah – divide and rule. Elemen-elemen perkauman adalah ramuan paling utama pada amalan politik sebegini.

Bukan sahaja dalam amalan seharian serta propaganda media, malah kanak-kanak dan pelajar juga dididik di sekolah dan pusat pengajian tinggi awam bahawa dimensi politik demokrasi itu hanya hitam putih – kaum itu dan kaum ini, agama itu dan agama ini. Ia tidak mempedulikan bahawa pigmen warna demokrasi sebenar adalah penuh dengan warna-warni dan kepelbagaian bentuk.

Bagi menghalalkan demokrasi yang cacat ini, maka jadilah ia satu pakej demokrasi “acuan kita” yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang paling terkenal dengan dolak-dalik dan intrik politik tanah air.

Hikmah dari demokrasi dinamik

Ini tidak pula bererti demokrasi Barat atau lebih tepat lagi demokrasi ala Amerika merupakan sistem pemerintahan yang terbaik. Negarawan Inggeris Winston Churchill pernah mengatakan bahawa demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang paling buruk sekali tetapi ia jauh lebih baik daripada segala apa sistem pemerintahan yang pernah ada.

Kita tidak alpa dengan ilusi dasar luar Amerika Syarikat yang menggunakan demokrasi sebagai acuan sehingga sanggup melahirkan pemerintahan autokrasi seperti yang pernah berlaku di benua Asia dan Amerika Selatan.

Itu soal dasar luar. Amalan dalamannya pula sebenarnya bersifat demokrasi dinamik. Demokrasi Amerika juga telah melahirkan ramai tokoh terkenal yang bijaksana lagi celik jiwa mereka.

Daripada negarawan-filosuf Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson kepada Abraham Lincoln dan pejuang pembebasan hambad abdi Frederick Douglass sepanjang abad ke-18 dan 19, serta tokoh-tokoh pelbagai bidang abad ke-20 seperti Franklin Roosevelt, Albert Einstein, Mark Twain, Alexander Graham Bell, Thomas Edison, Muhammad Ali, Bill Gates, Steve Jobs, Martin Luther King dan Malcom X.

Perkauman itu kudis politik

Memetik ungkapan Malcolm X, seorang tokoh pejuang yang menentang politik perkauman Amerika:

Aku sudah muak dengan propaganda orang lain. Aku berjuang untuk kebenaran, tidak kira siapa yang menyebutnya. Aku berjuang untuk keadilan, tidak kira untuk siapa, sama ada yang menyokong atau yang menentangnya. Aku adalah seorang manusia, dan kerana itu aku berjuang untuk sesiapa sahaja dan apa sahaja yang berfaedah untuk kemanusiaan”.

Kata-kata tokoh kulit hitam Malcolm X atau El-Hajj Malik El-Shabazzi datangnya dari hati seorang insan yang sudah benci dengan amalan perkauman, baik dalam aspek politik, sosial mahu pun ekonomi.

Aktiviti perkauman ini dilihat oleh beliau sebagai penggagal kepada segala pengetahuan dan kebijaksanaan manusia dalam menjalani kehidupan mereka.

Perjuangan dengan jiwa yang besar akan membentuk ruang demokrasi yang luas, perjuangan politik dengan hati dan minda yang terbuka akan membentuk amalan politik yang waras. Ia akan membunuh kudis-kudis perkauman dalam masyarakat kita.

Dengan akal yang rasional maka aktviti manusia itu akan kembali menjadi waras, inilah perjuangan untuk kebenaran. Berapa keratkah ahli politik kita yang besar jiwa berbanding nafsunya yang gilakan kuasa? – Roketkini.com