Berita

KLIA2: Menteri membisu, para pemimpin Pakatan akan temuinya minta penjelasan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Setelah hampir sebulan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengelak dari memberi sebarang respon berhubung kos melambung Lapangan Terbang Tambang Murah (KLIA2), Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua tidak ada pilihanlain kecuali akan pergi berjumpa dengannya.

Pua yang yakin Kong akan menyambut kedatangannya juga percaya menteri tersebut  akan mempelawa beliau dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat untuk meneliti semua penjelasan dari Malaysia Aiport Holding Berhad (MAHB) dalam isu kos pembinaan KLIA2 yang melambung itu.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri bagi mendapatkan temu janji untuk mendengar penjelasan daripada beliau mengenai isu ini”.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dengan lapangan terbang di negara ini, bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool yang berada dalam Lembaga Malaysia Airports Holdings Bhd, beliau tidak boleh menafikan tanggungjawabnya ke atas kemelut yang melibatkan wang pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian sebagai satu usaha beliau mengetengahkan isu KLIA2 yang masih belum siap semenjak diluluskan pada 2007.

Tambahnya, semenjak itu kos KLIA2 meningkat secara mendadak dari RM1.7 bilion kepada RM3.9 bilion tahun lalu, akibat perubahan tapak lapangan terbang dari KLIA Utara kepada KLIA Barat.

“Pertukaran tapak telah menyebabkan kos pembinaan melambung sebab tapak KLIA Barat telah dikenal pasti sebagai tidak sesuai untuk pembinaan kerana bekas tanah paya gambut.

“Inilah sebab kenapa naiknya kos sehingga RM1.2 bilion,” katanya, bimbang dengan cara kerajaan UMNO-BN membelanjakan wang rakyat tanpa mempedulikan nasib rakyat.

Tambah Pua lagi, perubahan tapak KLIA2 itu juga telah menyebabkan perlunya landasan ketiga lapangan terbang yang mencecah RM270 juta selain penambahan menara peninjau berjumlah lebih kurang RM300 juta.

“(Tapak baru KLIA2 dan menara peninjau kedua) sebenarnya tidak diperlukan langsung jika terminal tambang murah itu dikekalkan di KLIA Utara,” katanya. – Roketkini.com