Rencana

DAP konsisten dengan kempen ‘perubahan’ – Oleh Mazir Ibrahim

Dalam mendekati pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa, DAP terus fokus terhadap isu-isu besar yang melibatkan dasar-dasar rakyat yang telah dikorupkan oleh sebahagian besar pemimpin elit UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam masa rakyat bergelut menjalani rutin hidup seharian, elit politik yang hidup mewah atas korupsi yang dilakukan itu terus bebas dan senang-lenang. Malah apabila disoal, masih pandai berdolak-dalik seolah-olah rakyat ini bodoh dan lemah.

Di pihak kerajaan UMNO-BN pula, tidak ada apa-apa tindakan politik yang dilihat mampu meyakinkan demi menebus rasa kecewa rakyat. Dengan kata lain, tindakan dan azam politik itu ditukar menjadi janji kosong politik.

Kegagalan kerajaan UMNO-BN

Jika UMNO-BN tumbang pada PRU yang akan datang, ia bukanlah kerana Pakatan Rakyat itu kuat dengan jentera pilihan raya atau menguasai agensi kerajaan mahu pun kerana mempunyai banyak wang dan kroni.

Namun, kerajaan UMNO-BN bakal tumbang kerana dua faktor yang akan ditentukan oleh rakyat.

Pertama, faktor kegagalan kerajaan UMNO-BN untuk membuat keputusan yang bijak dengan mengawal dan mengongkong badan penguatkuasa undang-undang khususnya agensi Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa badan lain.

Agensi-agensi ini tidak diberi kebebasan menggunakan kuasa mereka, sesuai dengan matlamat, kemampuan dan tahap profesionalisme mereka. Agensi-agensi ini hanya diberi kuasa untuk bertindak berdasarkan kes-kes yang terpilih. Maka agensi- agensi penting ini telah disalahgunakan oleh kerajaan UMNO-BN untuk manfaat parti mereka.

Jadi, skandal-skandal rumit dan besar seperti PKFZ, MAS, Lynas dan NFC serta pengundi hantu dan korupsi pilihan raya terus tergantung. Siasatan dan penyelesaian terus menemui jalan buntu.

Soal teknikal seperti tindakan pendakwaan di mahkamah itu adalah soal lain, yang dimaksudkan di sini ialah perubahan politik, pengurusan dan amalan kerja itu tidak berlaku dan tidak dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN. Mereka lebih suka berjanji dan memberi gula-gula politik untuk pilihan raya dari buat perubahan.

Kedua, kerajaan UMNO-BN bakal tersungkur kerana faktor kejayaan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terutamanya dalam aspek menerangkan dengan jelas masalah yang dicipta oleh kerajaan UMNO-BN.

Selain daripada itu, ia juga kerana kejayaan Pakatan meyakinkan rakyat tentang dasar-dasar yang lebih baik oleh bakal kerajaan baru, iaitu kerajaan Pakatan Rakyat. Jelas, walau pun ada sedikit-sebanyak kelemahan, rata-rata kepimpinan Pakatan benci rasuah dan mahu kepada perubahan yang lebih adil dan saksama untuk setiap warga Malaysia.

Malaysia ke arah perubahan

Dalam konteks parti DAP, konsistensi kempen pilihan raya ini kelak terus kekal dengan menjelaskan kepada rakyat tentang kepincangan di sudut urus tadbir, dasar-dasar yang sudah korup dan budaya kerja yang tidak efisien.

Rakyat mesti difahamkan bahawa kenapa kita perlu tukar kerajaan. Kita perlu tukar bukan kerana kita benci UMNO-BN kerana ‘rasa benci’, tetapi kerana kita benci parti yang melakukan rasuah, meneruskan amalan korup dan membelenggu kebebasan masyarakat dalam soal kenegaraan. Inilah yang perlu kita jelaskan dengan sebaik dan semudah mungkin.

Perjuangan politik DAP adalah untuk membebaskan insitusi awam agar agensi ini beroperasi dengan telus, efisien dan bertanggungjawab terus kepada rakyat.

DAP mahu sebuah bentuk urus tadbir yang cekap dan telus. Kita mahu kakitangan awam menyedari bahawa mereka memberi khidmat kepada masyarakat dan masyarakatlah yang membayar gaji mereka, bukan tuan-tuan politik.

Dengan dua prinsip ini sahaja, Malaysia akan lebih mudah mengorak langkah dalam aspek kestabilan sosial dan perkembangan ekonomi.

Inilah prinsip paling asas yang akan kita perjuangkan jika rakyat memberi mandat kepada DAP dan Pakatan Rakyat amnya.

Kerja-kerja untuk perubahan ini bukanlah suatu kerja yang boleh diselesaikan dalam jangka masa yang singkat dan mudah.

Tetapi walau bagaimana susah sekali pun, langkah itu telah bermula sejak 2008 di mana rakyat telah berani mengubah wajah parlimen yang selama ini menjadi pentas opera politik UMNO-BN sahaja. – Roketkini.com