Berita

Tarif air di Pulau Pinang takkan dinaikkan

GEORGETOWN, 18 APRIL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan meningkatkan tarif air walaupun terdapat desakan untuknya berbuat demikian.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengatakan keputusan ini dibuat untuk memastikan Pulau Pinang terus menikmati kadar tarif air terendah di Malaysia.

Menurut beliau, buat kali pertama dalam masa sembilan tahun, Pulau Pinang telah mencatatkan pengurangan penggunaan air domestik, iaitu pada kadar 285 liter/kapita/hari (l/k/h) pada tahun 2011, berbanding 291 l/k/h pada tahun 2010.

“Ini bermakna pengurangan sebanyak 1.9%, atau 3.2 bilion liter air,” ujar Guan Eng.

Bagaimanapun menurut beliau kadar penggunaan domestik di negeri ini masih tinggi berbanding kadar purata nasional sebanyak 203 l/c/d.

Desakan terhadap Pulau Pinang untuk menaikkan taraf air ditimbulkan oleh beberapa NGO yang mendakwa kadar penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang terhasil kerana tarif air di Pulau Pinang adalah rendah, menyebabkan para pengguna tidak menghargai air.

Tarif air domestik Pulau Pinang adalah yang terendah di Malaysia, iaitu pada kadar purata RM0.31 per 1,000 liter bagi 35,000 liter pertama setiap bulan, dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi subsidi sebanyak RM58.9 juta tahun lalu untuk memastikan penduduk Pulau Pinang menikmati tarif air terendah di Malaysia.

Kumpulan-kumpulan NGO terbabit mengecam Kerajaan Negeri kerana enggan menaikkan tarif air dan mengenakan tarif Surcaj Pemuliharan Air (WCS) yang terlalu rendah terhadap para pengguna yang membazirkan air.

Sambil menerima kritikan NGO berkenaan, Guan Eng mengingatkan bahawa penduduk Pulau Pinang perlu mengakui bahawa negeri itu mempunyai bekalan air yang terhad dan menggesa mereka agar menggunakan air secara lebih berhemat.

Menurut beliau, jika penggunaan tidak dikurangkan ke kadar yang jelas lebih rendah, kemungkinan tarif Surcaj Pemuliharaan Air akan dinaikkan.

Dalam kenyataan medianya, Lim turut memuji PBAPP yang berjaya memastikan kehilangan air yang terjadi akibat kecurian air dan kebocoran paip iaitu pada kadar Air Tidak-Menjana Penghasilan (NRW)  sebanyak 18.4 % pada tahun 2011.

“Pencapaian ini adalah lebih baik berbanding dengan purata NRW nasional sebanyak 36.2% bagi tahun 2010,” ujar Guan Eng.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada PBAPP di atas kejayaan memenangi anugerah bertaraf antarabangsa, “WaterLinks”, bagi kategori “Best Water Operator Partnership” pada 2011 bersama-sama dengan PDAM Tirta Musi Palembang dari Indonesia.