Rencana

Tiba-tiba siaran berbayar ASTRO hujung minggu ini jadi percuma…

Orang Malaysia suka tengok televisyen. Dulu waktu tak ada TV, kita main gasing, wau bulan, dan kadang kala berhimpun melawan Malayan Union. Tapi itu dulu. Sekarang sudah ada televisyen. Maka kita isi masa lapang dengan menonton televisyen. Sejak ada ratusan rangkaian di ASTRO, kita pun semua jadi suka tengok ASTRO.

ASTRO ini Ananda Krishnan punya. ASTRO kebetulan baru saja memenangi People’s Choice Putra Brand Awards. Di laman webnya ASTRO mengucapkan terima kasih kepada sekalian pelanggannya dengan memberikan akses percuma kepada semua 130 salurannya secara percuma sampai 6 haribulan Mei nanti.

Maka terlepoklah sekalian suri rumah menghadap sinetron lepas Zohor sambil lipat kain.

“Eh Yang, bila pulak kita dapat channel tu? Abang tak ada langgan pun!” kata kau, separuh terkejut melihat isteri kau menonton sinetron Indonesia yang tidak pernah kau langgani, tepat waktunya kau mahu tengok orang puteh di England main sepak bola.

Menjelang perhimpunan aman BERSIH 3.0 esok petang, agaknya apa yang disiarkan ASTRO, yang secara tiba-tiba menganugerahkan rancangan televisyen percuma kepada mereka yang lebih selesa duduk rumah, terbongkang tengok TV daripada turun ke Kuala Lumpur bersama ratusan ribu rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Adakah rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang begitu suka tengok TV akan memilih untuk lepak tengok ASTRO berbanding turun ke jalan-jalan Kuala Lumpur dan mendesak reformasi sistem pilihan raya yang lebih telus?

Adakah minda Melayu boleh dibeli dengan rancangan TV percuma? – Roketkini.com