Berita

Masalah pendatang asing Sabah; media ditutup mulut?

KUALA LUMPUR, 10 MEI – DAP mempersoalkan tentang laporan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dipersetujui Kabinet 8 Februari lalu untuk menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah tidak disiarkan dalam mana-mana media arus perdana semalam.

Menyifatkan perkara ini sebagai suasana tidak sihat terhadap kebebasan media di Malaysia, Ketua  Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, isu adalah satu persoalan yang berhak dijelaskan kepada rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, berita penting itu langsung tidak mendapat liputan dalam semua media arus perdana Malaysia kecuali akhbar The Sun dan laman web The Star. Yang menyiarkan penuh hanyalah beberapa portal internet seperti Malaysiakini dan FreeMalaysiaToday.

Sementara itu, Lim juga mempersoalkan tindakan oleh agensi berita Bernama yang menarik balik laporan berita berkenaan mengenai jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen.

Katanya, Nazri telah dilaporkan sebagai berkata Kabinet bersetuju untuk menubuhkan RCI tentang pendatang asing di Sabah di mana proses menyediakan bidang kuasa suruhanjaya tersebut telah dimulakan selepas keputusan Kabinet pada 8 Februari lalu.

Menurutnya, bidang kuasa RCI itu merangkumi aspek-aspek keselamatan, sosial, ekonomi dan alam sekitar yang dikatakan mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kebanjiran pendatang asing di Sabah.

“Jadi apa hak Bernama untuk “mematikan” jawapan Nazri di Parlimen itu, walau pun jika Nazri telah mengelirukan Parlimen dan tidak menyatakan apa yang benar?” tambahnya. – Roketkini.com