Berita

Adun DAP sumbang cek untuk masjid, surau di Subang Jaya

PETALING JAYA, 22 JULAI: Enam masjid dan 16 surau di Subang Jaya dan kawasan di sekitarnya menerima sumbangan RM28,000 sempena bulan Ramadan daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh, di Dewan Muslimat Masjid Darul Ehsan Subang Jaya semalam.

Majlis ini telah dihadiri oleh nazir-nazir dan wakil-wakil masjid serta surau untuk menerima cek sumbangan melalui peruntukan ADUN kepada semua masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor di kawasan DUN Subang Jaya.

Setiap masjid menerima sumbangan RM2,000 manakala setiap surau masing-masing RM1,000.

Menurut Hannah Yeoh, sumbangan ini diharapkan dapat meringankan kos masjid dan surau dalam bulan Ramadhan.

“Ini adalah kali keempat majlis ini dilakukan dan bagi DUN Subang Jaya, sumbangan kepada masjid dan surau merupakan paling tinggi di Selangor,” katanya di majlis itu.

Sementara itu, selepas majlis tersebut, Yeoh dalam satu sidang akhbar mendedahkan mengenai bahaya yang dihadapi oleh penduduk sekitar Jalan 5/46  Bukit Gasing akibat pembangunan oleh pemaju Gasing Meridian Sdn.Bhd. berdekatan kawasan tersebut.

“Masalah utama projek ini ialah mengenai jalan masuk ke kawasan yang dibangunkan tersebut. Lori-lori besar keluar masuk hanya  menggunakan satu laluan sahaja iaitu Jalan 5/46.

“Pihak Pusat Khidmat DUN telah pun melakukan tinjauan jalan tersebut bersama unit penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Datuk Bandar MBPJ pada Jumaat lalu memohon MBPJ bekerjasama dengan DBKL menghalang lori-lori tersebut dari menggunakan jalan tersebut.

“Kita mahu agar satu laluan keluar masuk yang lain disediakan dan tindakan tegas dari pihak DBKL dan MBPJ sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur agar bertindak segera untuk menangani masalah ini untuk mengelak kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. – Roketkini.com