Rencana

Keganasan rumahtangga salah wanita? – Oleh Iza Suraiya

Dalam soal rumahtangga, biasanya kaum wanita dipersalahkan. Hujahnya, si isteri yang tak pandai jaga suami, si isteri yang tak pandai urus rumah tangga dan masalah akhlak anak-anak juga kerana si ibu yang menjaga tidak pandai mendidik.

Sehinggakan apabila berlaku keganasan, walaupun biasanya dilakukan oleh suami atau teman lelaki, wanita juga dituduh menjadi puncanya.

Sebagai seorang perempuan yang masih belum berumahtangga, saya merasakan sikap ego lelaki yang lebih menginginkan sikap dominasi terhadap kaum wanita yang menyebabkan keganasan dalam institusi keluarga berlaku. Seharusnya samu dan isteri mempunyai hak yang sama walau berbeza tanggungjawab. Malah, wanita yang lebih berperanan dalam memastikan keharmonian keluarga.

Terlalu banyak kisah-kisah benar yang saya dengar semasa “mesyuarat tingkap” sesama jiran sewaktu remaja dan seterusnya apabila berdepan dengan masalah yang dibangkitkan ketika saya berkhidmat dengan seorang wakil rakyat sebelum ini.

Punca

Semua hujahnya padat mengatakan ini berpunca daripada apabila perbezaan pendapat berlaku dan pasangan gagal mendapatkan keputusan akhirnya. Tidak kurang juga yang menjadikan masalah kewangan, cemburu buta, jahil dalam pendidikan rohani serta kekurangan kasih sayang sebagai punca.

Paling teruk rasanya ialah apabila lelaki atau suami (tidak semua) diajar oleh ibu bapa mereka sendiri bahawa wanita memang selayaknya duduk di dapur dan menjaga anak sahaja. Apatah lagi ada suara-suara orang yang mengaku pakar agama mengajar hal-hal demikian, dan ini bukan berlaku di kalangan orang Melayu Islam sahaja.

Saya akan terfikir, kalau sebelum kahwin, ketika bercinta,  segalanya indah; tetapi bila sudah menjadi suami isteri segalanya hancur binasa. Mengapa selepas berkahwin, seolah-olah cinta sudah hilang, digantikan pula dengan rutin yang membosankan, malah menyebabkan pergaduhan dalam rumahtangga? Mengapa harus begitu?

Baik dari segi  emosi yang gagal dikawal mahupun adanya unsur-unsur luar seperti penyalahgunaan dadah, alkohol dan hilang kesetiaan pasangan, akhirnya mencetuskan keganasan yang melibatkan fizikal dan mental.

Hakikat

Statistik Polis Diraja Malaysia (PRDM) dari 2007 hingga Februri 2012 adalah seperti berikut, sebanyak 18,124 kes dilaporkan iaitu 3,756 kes pada 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada 2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun 2012.

Hal ini juga turut disokong dengan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebanyak 595 kes yang diterima oleh JKM pada tahun 2007 di Selangor sahaja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Sea Kai, pernah menyatakan bahawa kebanyakan masalah ini berpunca dari salah faham di awal perkahwinan antara suami isteri. Kes sedemikian telah mencatatkan angka berjumlah 54 peratus dari tahun 2007 hingga Februari lalu.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] adalah satu akta yang diperuntukkan untuk melindungi mangsa dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara-perkara yang berkait. Justeru, pelaku juga tidak akan terlepas daripada hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Bagi mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, mereka tidak perlu takut untuk tampil membuat laporan. Bantuan dari sudut pengukuhan psikologi melalui perkhidmatan kaunseling. Selain mempergiatkan program literasi undang-undang agar dapat menjelaskan mengenai hak dan tanggungjawab dari aspek sivil dan syariah sebelum, semasa dan selepas perkahwinan.

Kementerian juga telah memperkenalkan program ‘Smart Start’ sejak 2009 bagi memastikan mesej kepada pasangan yang ingin berkahwin atau yang sudah berkahwin kurang dari lima tahun untuk mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

Padu

Walaubagaimanapun program yang dijalankan tersebut tidak mengurangkan masalah keruntuhan rumahtangga.

Justeru, Wanita Pakatan Rakyat memandang berat isu penindasan mahupun keganasan yang berlaku terhadap wanita. Maka satu kesepakatan telah termetrai, di mana Agenda Wanita Malaysia (AWM) diperkenalkan yang mempunyai hala tuju yang mencakupi pelbagai aspek.

Bagi mereka, kerajaan seharusnya lebih sensitif dan serius dengan menubuhkan satu suruhanjaya yang bertindak dalam mengatasi permasalahan terutamanya dalam isu keganasan rumahtangga.

Ketua Wanita DAP Kebangsaan Chong Eng menjelaskan bahawa Wanita Pakatan Rakyat merangka usaha untuk menubuhkan Pusat Sokongan Wanita Bersepadu (PADU). PADU akan diperkenalkan untuk memastikan segala undang-undang yang digubal akan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sementelahan, masalah keganasan ini dapat diatasi jika agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan kaunseling diperbanyakkan dan diperkukuhkan, terutama di kawasan luar bandar. Pegawai dan petugasnya tidak boleh bersikap duduk menanti pelanggan, sebaliknya bersifat pro-aktif dengan melawat dan menziarah kawasan. Kelangsungan hal ini juga ia akan dapat melahirkan wanita yang lebih berdaya saing, berkemahiran serta berilmu.

Lantaran dengan perkara tersebut, AWM dengan membawa pendekatan  ‘Falsafah Hormat Wanita’ sebagai dasar pelan pembangunan wanita dan masyarakat diharap dapat membantu usaha menjaga martabat wanita di samping mendidik lelaki/suami supaya memahami hakikat sebenar berumah tangga.

Jika lelaki/suami menerima hakikat…

Sementara menanti mandat rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, dan seterusnya melaksanakan AWAM, saya lebih yakin “mesyuarat tingkap” sesama jiran, khususnya kaum wanita, akan lebih bermakna jika korum mesyuarat membekal serta dibekalkan dengan maklumat yang ada.

Mungkin mesyuarat tidak rasmi seperti itu kadangkalanya lebih baik jika dibandingkan dengan agensi kaunseling yang ada jika pihak berwajib gagal berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga.

Seperti yang dinyatakan awal tadi, jika lelaki/suami masih gagal memahami hak wanita/isteri sebagai seorang manusia, seperti mana lelaki/suami juga mempunyai haknya, maka tidak ada gunanya jika kaunseling hanya diberikan kepada wanita/isteri.

Sebagai permulaan, lelaki/suami perlu sedar bahawa wanita BUKAN punca keganasan rumahtangga. Segala statistik dan kajian saintifik telahpun membuktikan perkara itu. Ini bukan soal ego. Ini adalah satu penyelesaian untuk keharmonian rumahtangga dan keluarga tercinta. – Roletkini.com