Berita

Bongkar skandal Scorpene: BN dendam dengan SUARAM kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyelar tindakan kerajaan UMNO-BN terhadap organisasi hak asasi manusia, SUARAM, sebagai satu tindak balas terhadap kempen NGO itu yang telah membongkar kebenaran mengenai skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Menurut Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini tindakan pihak kerajaan adalah tidak masuk akal, tanpa bersebab dan memperlihatkan dendam UMNO-BN melalui gangguan berterusan dan penganiayaan terhadap organisasi hak asasi manusia itu.

“Jika Najib jujur dan serius terhadap Pelan Transformsi Kerajaan (GTP) dan sasaran NKRA terutamanya dalam memerangi rasuah, kesemua agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) perlu bekerjasama dengan SUARAM untuk membenarkan kebenaran isu skandal pembelian kapal selam Scorpene didedahkan.”

Katanya, penganaiyaan berterusan terhadap SUARAM peru dihentikan kerana ia membawa mesej jelas kepdaa rakyat Malaysia dan dunia bahawa pentadbiran Najib dipenuhi dengan kekotoran dan penyelewengan yang disembunyikan.

“Pepatah Greek ada menyebut “Mereka yang mahu dihancurkan Tuhan, dijadikannya gila terlebih dahulu,” (Those whom the gods wish to destroy they first make mad) adalah lebih tepat buat mereka,” ujar beliau, menyifatkan tindakan kerajaan akhir-akhir ini menandakan bahawa parti pemerintah itu sudah semakin hilang akal.

Mengulas lanjut tentang sikap pilih bulu UMNO-BN dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, Kit Siang mempersoalkan kenapa tindakan undang-undang tidak diambil kepada pelaku dalam insiden kencing dan pijak gambar pemimpin Pakatan Rakyat.

“Mana tindakan undang-undang terhadap pelaku tersebut?” tegasnya, bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa tindakan menyerlahkan bontot dan memijak gambar pemimpin negara adalah tindakan yang tidak baik, namun untuk bertindak ‘double-standard’ terhadap sesuatu kesalahan bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan juga. – Roketkini.com