Berita

UMNO perguna FELDA, rakyat Sabah derita

LAHAD DATU, 20 SEPTEMBER: Dengan tanah berkeluasan 320,000 ekar, sehingga kini cuma 10 peratus sahaja tanah rancangan tersebut diberikan kepada peneroka untuk diusahakan sejak tertubuhnya FELDA di Sabah pada tahun 1979.

Seramai 1,647 peneroka FELDA tersebut masing-masing mewakili 14 ekar tanah bagi setiap peneroka manakala baki tanah berjumlah 280,543 ekar dimiliki oleh FELDA.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Sabah Chan Foong Hin, sehingga tahun 1990, FELDA ketika itu masih gagal menempatkan peneroka di tanah-tanah rancangan atas alasan untuk mengurangkan beban kewangan dan menyediakan infrastruktur bagi skim tersebut.

“Persoalannya sekarang, walaupun sudah lebih 30 tahun FELDA di Sabah, mengapa kurang 2000 peneroka sahaja ditempatkan sedangkan mereka mempunyai tanah yang sangat luas.

“Sudahlah tanah tidak dipulangkan kembali kepada kerajaan negeri malah FELDA telah membangunkan sendiri penanaman sawit secara besar-besaran menggunakan wang rakyat dan menghasilkan keuntungan mencecah billion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan.”

Tambah Foong Hin, apa yang  lebih mendukacitakan, FELDA tidak pernah membayar cukai hasil tanah kepada Pihak Berkuasa Tempatan Lahad Datu.

“Apa yang kita tahu sekarang dalam senarai FGVH, sebahagian dari tanah FELDA Sabah itu bukan sahaja diserah kepada Kerajaan Persekutuan tetapi dijual kepada pasaran.”

Janji 80,000 peneroka tapi…

Menurut seorang responden yang ditemui Zainuddin Zulkarnain, 55, beliau turut mempersoalkan janji kerajaan BN melalui FELDA untuk menempatkan sekitar 80,000 peserta tanah rancangan.

“Tapi kenapa sekarang cuma seribu lebih sahaja, mana yang lain? Sekarang ramai rakyat Sabah mula bersuara. Kenapa FELDA boleh jadi begini dan apa yang sudah berlaku?

“Sekarang kita lihat PATI mula kuasai ekonomi, overcome rakyat Sabah sendiri. Sabah saya lihat semakin teruk. Kerajaan BN jual hak rakyat Sabah. Mereka penderhaka.” katanya dengan nada tinggi.

FELDA pinggir kontraktor bumiputera

Bagi anak seorang peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Zack (bukan nama sebenar), 29, beliau telah mempersoalkan mengapa pengurusan dalaman FELDA kini sering bertukar-tukar dan ia jauh berbeza semasa diuruskan pengerusi terdahulu Tan Sri Dr. Yusoff Nor.

Ditanya sebab berlakunya perkara tersebut, Zack berkata ia kerana FELDA disini telah dikuasai oleh orang politik dan kroni-kroni mereka.

“Apa yang saya tahu dan lihat, kontraktor-kontraktor bumiputera, sebahagian mereka rakan saya sendiri yang berdaftar dengan FELDA tidak mendapat projek menuai dan mengangkut sawit. Ia kerana ia telah dilakukan oleh kontraktor asing yang terdiri dari kalangan PATI.

“Rasanya, lebih 90 peratus kontraktor bumiputera terpinggir oleh FELDA. Sekarang ramai kontraktor bumi yang sah berdaftar dengan FELDA tidak lagi dapat kontrak.” kata Zack. – Roketkini.com