Berita

Belanjawan PR 2013: Tumpu pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan Malaysia Timur

KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER: Selain memberi penekanan terhadap tiga masalah yang menjadi punca masalah ekonomi di Malaysia iaitu rasuah, jenayah dan daya saing, Belanjawan Pakatan rakyat 2013 turut memberi keutamaan kepada negeri-negeri Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Belanjawan PR 2013 menjanjikan New Deal untuk Sabah dan Sarawak, yang terdiri daripada lima elemen penting.

“Pertamanya ialah menegaskan kembali Deklarasi Kuching Pakatan Rakyat pada 16hb September untuk memenuhi harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur dan perlindungan terhadap hak-hak asasi  mereka ketika membentuk Malaysia pada 1963, 49 tahun lalu,

“Pada masa yang sama,   Pakatan Rakyat juga berjanji untuk menaikkan royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak (juga untuk Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain) daripada 5 peratus kepada 20 peratus.” katanya.

Selain itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, Pakatan Rakyat akan menubuhkan syarikat minyak dan gas milik negeri sendiri untuk Sabah dan Sarawak (juga untuk Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain) supaya mendapat faedah daripada pelaburan kewangan ke atas telaga marginal melalui kontrak perkongsian risiko (RSCs).

“Syarikat minyak dan gas milik negeri akan dipupuk supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa pada masa depan sebagai persediaan penyusutan rizab di Malaysia.” ujarnya

Perkara keempat menurut Kit Siang ialah membina sebuah Lebuhraya Pan-Borneo yang lengkap dan dipertingkat menghubungkan Kuching hingga Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah bagi membawa pembangunan ke Sabah dan Sarawak agar setanding Semenanjung Malaysia.

“Pakatan Rakyat juga akan menjalankan penilaian ke atas kesan kewangan dan daya peningkatan bagi pembesaran jaringan landasan di Sabah dan Sarawak.” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.-roketkini.com