Berita

Empangan Tambatuon: BN pinggir suara Kadazan-Dusun Sabah

Jahim bin Singkui bersama Lim Kit Siang

Gambar Ihsan : antiempangan.blogspot.com

KOTA BELUD 27 SEPTEMBER: Lebih 3000 orang penduduk Kampung Tambatuon, Kota Belud diancam pembinaan Projek Empangan Tambatuon yang bernilai RM450 juta setelah diluluskan kerajaan BN pada 2010 dimana ia bakal menenggelamkan sebuah kampung yang telah dihuni sejak lapan generasi yang lalu.

Bagi Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Tze Phin, projek tersebut cuma mahu menguntungkan pihak kroni apatah lagi ia merupakan projek berskala besar.

“Apa yang diperlukan penduduk Tambatuon bukan sebuah empangan tetapi memadai dengan membina sistem saliran dan perparitan untuk pengairan sawah padi.

“Yang perlukan empangan sekarang adalah di Tawau sejak 30 tahun lalu tetapi walaupun sudah 70 peratus pampasan dibayar, sehingga kini empangan tersebut masih belum dibina.”

Langgar hak orang asal

Selain bercanggah dengan Deklarasi hak Orang Asal Sedunia yang telah dipersetujui sendiri oleh Kerajaan Malaysia pada 13 September 2007 dalam perhimpunan Agong PBB, pembinaan empangan ini juga melnggar perkara yang  terkandung dalam Ordinan Tanah Sabah yang melindungi tanah NCR penduduk.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Pembinaan Empangan, saudara Jahim bin Singkui, penduduk kampung akan kehilangan sumber sara hidup, budaya dan warisan pusaka sekiranya projek empangan ini diteruskan.

“Kami penduduk kampung berasa amat terkejut dan kecewa kerana pembinaan empangan tersebut tidak mengambil kira kesan baik dan buruk . Bukan sahaja kesan kepada penduduk tetapi kesan kepada penduduk yang menetap di sepanjang sungai Kadamaian dan seluruh daerah Kota belud.”

Difahamkan, penduduk tidak diberitahu mengenai cadangan pembinaan empangan tersebut sehinggalah kajian EIA dijalankan disana.

Pada November 2010, Jahim berkata, sebuah memorandum bantahan telahpun diserahkan kepada Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, ADUN Kadamaian, Datuk Harbert Timbun Lagadan, Menteri Pertanian dan Industri Majanan merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Ketua UMNO Kota Belud, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang juga Speaker DUN Sabah serta pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Jamli.

Beliau juga memberitahu bahawa sehingga kini tidak ada tindakan dan penjelasan yang dibuat terhadap isu yang timbul.

“Apapun, kami tidak berganjak dari pendirian kami untuk mempertahankan dengan apa jua cara sekalipun untuk membantah pembinaan empangan Tambatuon sehingga berjaya.

Ujarnya lagi, “Kami juga tidak akan sama sekali bersetuju untuk berunding degngan pihak kerajaan berkenaan pampasan kerana tanah adat kami adalah kehidupan dan nyawa kami.” katanya dalam siri jelajah DAP Sabah baru-baru ini.

Memorandum Bantahan Rancangan Pembinaan Empangan Tambatuon Di Kampung Tambatuon – Sungai Kedamaian – Kota Belud ini telah ditandatangani olehnya sendiri, Jahim bin Singkui, Ketua Kampong Kampong Tambatuon, Amin Goling, Ketua Kampung Kampung Ratau, Mait Matundian, Ketua Kampung Bundu Paka, Singan Loki, Wakil Mukim Kabayau, Sayhui Sumbin dan Ketua Kampung Lingkubang, Kubing Sudompong.-roketkini.com

Roketkini akan menyiarkan siri-siri rakaman Bicara Rakyat Sabah menerusi laman www.youtube.com/roketkinidotcom