Berita

Belanjawan ‘Santa Claus’: Apakah ‘gula-gula politik’ Najib akan bertambah?

KUALA LUMPUR 28 SEPTEMBER: Wujudnya ketempangan pada belanjawan setiap tahun adalah disebabkan kerajaan UMNO-BN terus cuba mengukuhkan kedudukan mereka pada pilihan raya umum dengan pelbagai gula-gula politik.

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya kepada media, kerajaan tidak serius untuk menggariskan bagaimana negara mampu lebih berdaya saing untuk mencapai matlamat negara membangun dan berpendapatan tinggi.

Turut menyifatkan belanjawan tahunan sebagai acara Santa Claus, Kit Siang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut dipersalahkan untuk kegagalan ekonomi negara.

“Najib menonjolkan rasa takut beliau untuk berhadapan Pilihan Raya ke-13. Ia menyebabkan beliau menjadikan tempoh 42 bulan sebagai Perdana Menteri kempen pilihan raya yang tiada penghujung.

“Justeru, satu-satunya soalan yang menjadi tanda tanya rakyat Malaysia mengenai Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan hari ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, bukan mengenai pemberian kedua BR1M  tetapi sama ada pemberian kedua BR1M akan menjadi dua kali ganda lebih banyak BR1M pertama,” ujar beliau.

Menurut Kit Siang lagi, “Sekiranya pemberian BR1M kedua tidak melebihi dua kali ganda daripada pemberian BR1M pertama iaitu RM500 atau tidak memberi manfaat melebihi bilangan 4.2 juta isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, kerajaan UMNO-BN Najib boleh menjangkakan respon buruk daripada rakyat Malaysia.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, ketika Najib membentangkan Belanjawan 2012 pada 7hb Oktober tahun lalu, beliau memperuntukkan RM2.1 bilion untuk pemberian RM500 melalui BR1M bagi setiap isi rumah yang layak.

“Najib hanya berhasrat menggunakan bantuan itu sebagai senjata utama bagi meraih undi dan mendapatkan mandat menjadi Perdana Menteri daripada Pilihan Raya Umum ke-13.”

Malangnya tambah Kit Siang, seperti kata bidalan, “Manusia merancang, Tuhan yang menentukan”, rancangan Najib menjadi kucar-kacir apabila terbongkarnya skandal “Lembu-Kondominium” selepas pembentangan Belanjawan 2012.

“Penjadualan semula Pilihan Raya Umum ke-13 oleh Najib pada bulan Jun-Julai tahun ini juga terganggu selepas kerajaan, pihak polis gagal mengendalikan isu perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April dengan baik.

Kit siang menimbulkan persoalan adakah kemungkinan pemberian kedua BR1M yang melebihi dua kali ganda daripada RM500 BR1M pertama dalam Belanjawan 2013 ini akan mengembalikan populariti dan nasib yang UMNO-BN untuk pilihan raya umum ke-13?

“Hanya keputusan pilihan raya umum akan datang ini akan dapat memberikan jawapan.” jelas Kit siang. – Roketkini.com