Berita

Kontraktor Melayu terbela di Pulau Pinang – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Tuduhan bahawa kontraktor Kelas F Pulau Pinang yang kebanyakannya kontraktor Melayu Bumiputera tidak dianugerahkan tender oleh kerajaan negeri tersebut ditempelak Ketua Menteri Lim Guan Eng apabila dakwaan tersebut dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menurut Guan Eng, “Sejak 2008, kita sudah buat tender terbuka bagi semua jenis kelas. Kita lakukan semua ini kerana kita percaya kepada kekuatan terhadap kontraktor Melayu.”

“Ia terbukti apabila 70 peratus kontraktor Melayu ini memenangi tender tersebut” ujarnya.

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata sebenarnya ini menunjukkan bahawa bukan kontraktor Melayu yang tidak mampu tetapi kontraktor UMNO-BN yang tidak mampu.

“Bukan itu sahaja, kita juga boleh membuktikan banyak lagi kontraktor-kontraktor Melayu yang berjaya mendapatkan tender yang bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang” katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan UMNO-BN cuba memainkan isu perkauman dalam isu ini.

“Tindakkan UMNO-BN ini menghina orang Melayu dan cuba memberikan reaksi seolah-oleh orang Melayu akan hilang tempat bergantung sekiranya tidak menyokong mereka.”

Tambahnya lagi, tindakan ini hanyalah untuk mengekalkan kuasa dan rasuah mereka supaya kekal berkuasa. Secara tidak langsung, ia memberikan ruang bagi MCA menyatakan seolah orang Melayu tidak mampu bersaing jika kuasa kerajaan UMNO-BN tidak wujud lagi di Pulau Pinang.

Menyentuh berkenaan peruntukan Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan Pulau Pinang,  Guang Eng menjelaskan sehingga hari ini kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang peruntukan seperti yang dijanjikan kerajaan UMNO-BN.

“Bukan sekadar peruntukan, malah sampai sekarangi Pulau Pinang masih tidak menerima
projek MRT, pengangkutan awam seperti bas, rumah mampu milik mahupun ‘free Port’ serta pembinaan jalan raya” jelas Guan Eng.-roketkini.com