Rencana

Hina Islam? Selamat jalan MCA Oleh Izmil Amri

Tiada lain yang dapat ku ucapkan kepada Chua Soi Lek selain ‘selamat jalan’, tatkala seluruh negara melihat betapa gigihnya MCA menggali kubur sendiri sewaktu persidangannya hujung minggu lalu. Sambil mengelap air mata meratapi pemergian parti Cina terbesar di Malaysia, kita turut menitipkan belasungkawa buat United Malays National Organisation yang kian sunyi menyendiri di dalam sebuah barisan politik yang sedang nazak.

Mari kita bertafakur sejenak dan mengenang kembali fiasco konvensyen MCA yang baru sahaja berlalu. Kita faham keadaan mereka sekarang. Selalunya orang yang menghampiri ajal akan buat dan cakap yang bukan-bukan.

DAP tidak perlu menjawab tuduhan MCA, apatah lagi bermain drama politik MCA. Sebagai sebuah parti yang lama, MCA sepatutnya lebih punya pengalaman dan kebijaksanaan untuk melakukan perkara yang lebih masuk akal, selain menghina Islam secara terang-terangan. Sangkanya permainan begitu akan menjerat DAP, tetapi MCA ternyata silap.

DAP, sebagai sebuah parti yang tidak berasaskan kaum mahupun mengangkat nama mana-mana agama; hanya sekadar melihat dengan ekspresi tidak percaya pada politik ‘lagak ngeri’ yang diperlihatkan MCA dua tiga hari lalu. Tidak menyangka parti Cina tersebut mampu memberanikan diri untuk menyerang dan menghina Islam dan hudud secara terang nyata.

Seolah-olah pemimpin MCA ini semua telah salah makan ubat. Mabuknya itu lain macam, hatta menyebabkan kaum Cina lain menepuk kepala dan menggeleng-geleng tidak percaya.

Antara tuduhan paling gila pastilah yang keluar dari mulut Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mendakwa kononnya PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya wanita tersebut tidak menepati peraturan berpakaian yang disarankan agama Islam. Mengucap panjang saya apabila membaca laporan ini. Bagaimana agaknya beliau boleh membenci Islam sampai ke tahap ini, sehingga sanggup memfitnah PAS sampai begitu sekali.

Apakah Heng Sai Kie langsung tidak membaca atau melakukan sebarang penyelidikan? Tidak mampu menggaji seorang dua pembantu penyelidik kah? Atau memang betul-betul salah makan ubat? Tidak saya bukan menghina, cuma saya mahu tahu. Bagaimana mungkin dalam negara yang begitu majmuk, masih boleh wujud dua tiga kerat manusia yang begitu tidak peduli dengan sensitiviti sehingga langsung tidak berfikir apabila berkata-kata.

Malaysiakini memetik Heng sebagai berkata, “Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?”

Dari kejauhan kita dengar bunyi ‘pap’ yang amat kuat. Bunyi puluhan ribu rakyat Malaysia yang menepuk dahi dengan kenyataan tidak masuk akal ini.

Mungkin inilah sebabnya hatta NGO ultra-Melayu, Perkasa pun akhirnya keluar ‘fatwa’ bahawa haram bagi orang Melayu untuk mengundi MCA. Perkasa, sebagai sebuah NGO pro-UMNO pastinya rasa serba salah untuk bergulat dengan MCA, sebuah parti yang pastinya punya kuasa politik besar dalam Barisan Nasional. Lainlah kalau Perkasa sendiri sudah boleh membaca bahawa ada kemungkinan UMNO akan “fly-solo” dalam pilihanraya akan datang.

Apa maksud “fly solo”?

Bacaan politik saya dua tiga hari ini memberitahu bahawa akan ada kemungkinan bodoh untuk UMNO meninggalkan regu politik paling akrabnya dan bertanding dalam pilihanraya akan datang dengan penglibatan minima MCA, atau mungkin dengan tidak melibatkan MCA langsung. Dead-weight dah MCA ni, kata orang putih. Seumpama mengusung mayat.

Sebagai parti politik yang masih terjerat dalam permainan sentimen perkauman dan agama, MCA tidak belajar dari kesilapan 2008. UMNO tidak boleh terus memberi muka kepada parti politik Cina yang biadap dengan Islam. UMNO pun Islam juga kan? Bukan PAS sahaja yang Islam. Tetapi MCA ini sudah merepek di luar kawalan apabila ia menyangka hanya PAS sahaja yang Islam dan pro hukum Tuhan, tanpa menyedari bahawa dengan menyerang Islam, MCA turut mencederakan UMNO.

Kita cuma berharap UMNO tidak cukup bodoh untuk menyahut seruan MCA dan tumpang sekaki dan turut menyerang Islam, tidak kiralah versi siapa pun. Saya yakin UMNO tidak sebodoh itu.

Di penghujung konvensyen MCA jelaslah kepada rakyat Malaysia seluruhnya bahawa tiada lagi harapan untuk parti politik berasaskan kaum yang dengan terang nyata tidak mahu melayan sebarang ide baru menjelang pilihanraya umum akan datang. Ini ertinya MCA akan terus bermain di dalam lingkungan politik perkauman sempit seperti kebiasaannya berpuluh tahun lampau.

Dengan sentimen yang dibakar oleh presidennya hujung minggu lalu, pastilah kita boleh mengagak bahawa hanya kebencian terhadap Islam yang akan terus ditiupkan sepanjang kempen pilihanraya umum akan datang. UMNO akan terus berdiam diri kerana yang terkorban hanyalah MCA. Apa guna lagi membantu jasad yang sedang nazak.

Maka selamat jalan kita ucapkan buat MCA. Jasamu kan tetap kami kenang. – Roketkini.com