Berita

Loji nuklear di Malaysia ancam rakyat dan negara, kerajaan BN tidak waras – Guan Eng

KUALA LUMPUR 27 OKTOBER: Kerajaan Pulau Pinang telah memutuskan untuk mengharamkan dan tidak membenarkan sebarang pembinaan loji reaktor nuklear di negeri itu demi menjaga kesihatan, alam sekitar dan keselamatan rakyat.

Demikian tegas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam perutusan Aidiladha DAP yang antara lain memuji konsep pengorbanan dalam Islam yang mesra kepada alam sekitar kurniaan ilahi.

Mengulas jawapan parlimen baru-baru ini, Guan Eng meluahkan kehairananya apabila kerajaan telah mengenal pasti tujuh tapak lokasi bagi menempatkan dua buah loji nuklear di negara ini.

“Keazaman kerajaan BN meneruskan loji nuklear sungguh tidak masuk akal dan tidak waras walhal kebanyakan negara di dunia, termasuk Jerman telah menamatkan program loji reaktor nuklear mereka,”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menyifatkan kerajaan BN juga tidak mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada loji reaktor nuklear di Fukushima Jepun selepas dilanda tragedi gempa bumi dan tsunami serta mengingatkan kembali pengalaman pahit yang pernah berlaku di Bukit Merah, Perak.

“Bagaimana loji reaktor nuklear boleh dikendalikan dengan baik apabila rumah kediaman para anggota tentera bernilai RM3.2 bilion pun tak dibina dengan elok dan bumbung Stadium di Kuala Terengganu pun boleh tumbang?

Kerajaan sebelum ini dilaporkan telah mengumumkan cadangan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear Disember 2010 diamana ia bakal menjana 1,000 megawatt tenaga elektrik.

Pada awal bulan ini pula, Perdana Menteri  Dato’ Seri najib Razak berkata bahawa cadangan pembinaan projek dua loji nuklear itu disenaraikan di bawah Projek Permulaan (EPP) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Justeru Guan Eng yang juga merangkap Setiausaha Agung DAP  menyarankan kerajaan persekutuan BN serius dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan negara dengan  menutup kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, menolak atau membatalkan cadangan membina 2 loji nuklear di Malaysia dan mengkaji semula lokasi RAPID di Pengerang, Johor.-roketkini.com