Berita

Siapa kata kontraktor Melayu Pulau Pinang terpinggir? Putar-belit BN terbongkar

GEORGE TOWN, 3 NOVEMBER: Tuduhan BN bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminggirkan kontraktor Kelas F yang kebanyakannya Melayu Bumiputera dianggap tidak berasas apabila jumlah penganugerahan projek kepada kontraktor berkenaan meningkat setiap tahun selaras dengan pertambahan peruntukan pembangunan kerajaan negeri.

“Pada 2010, nilai kerja projek pembangunan negeri yang ditawarkan kepada kontraktor Kelas F bernilai RM38.5 juta iaitu meningkat sebanyak RM26.8 juta berbanding 2009,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2013 semalam.

“Pada 2011 juga mencatat peningkatan ketara di mana nilai projek berjumlah RM67.9 juta ditawarkan jabatan dan agensi kerajaan negeri kepada kontraktor Kelas F,” katanya.

Menurut Guan Eng, sehingga September 2012, nilai projek yang ditawarkan kepada kontraktor Kelas F adalah berjumlah RM57.02 juta.

Prihatin, Pulau Pinang tubuh majlis Rundingan Kontraktor Kelas F

Katanya lagi, kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Rundingan Kontraktor Kelas F yang berfungsi menyediakan platform sebagai meja rundingan dua hala di antara jabatan atau agensi kerajaan dan kontraktor Kelas F.

“Antara usaha yang dilakukan ialah mengadakan bengkel dan latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kontraktor Kelas F khusus dalam kerja konservasi warisan,” katanya.

DAP pinggir kontraktor Melayu? Fitnah BN terjawab

Timbalan Bendahari MCA Selangor, Lee Ban Seng sebelum ini cuba memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Cina dengan mendakwa Kerajaan Pulau Pinang tidak melaksanakan pemberian tender secara telus bagi semua projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana 100 peratus nilai projek diserahkan kepada kontraktor Melayu.

Menempelak dakwaan itu, Guan Eng berkata, sebelum ini UMNO-BN menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang anti Melayu.
“Kita tidak anti kepada mana-mana kaum kecuali BN yang ditentang kerana sikap mereka yang sering mempolitikkan isu dan sentimen kaum untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak melaksanakan dasar berasaskan kepada kaum atau kronisme tetapi berdasarkan kepada kredibiliti, kepakaran dan kualiti tugas yang pernah dan akan dilaksanakan kontraktor terbabit.

Sehingga kini Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, 100 peratus projek JPS serta 98 peratus projek Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di bawah peruntukan Kerajaan Pulau Pinang diberi kepada kontraktor Melayu yang layak.

Tambahnya, tender JPS berjumlah RM40.94 juta dianugerahkan kepada kontraktor Melayu yang layak dan mempunyai kepakaran.

“16 daripada 17 tender JKR bernilai RM20.4 juta pula turut diberi kepada kontraktor Melayu membabitkan 98 peratus nilai projek.” jelas beliau.-Roketkini.com