Berita

Puluhan ribu hadir, N.Sembilan siap untuk berubah

SEREMBAN, 5 NOVEMBER: Berbeza dengan laporan media arus perdana, puluhan ribu membanjiri padang Taman Seremban Jaya malam minggu yang lalu, meski hujan turun tanpa henti sehingga lewat malam demi menyaksikan Himpunan Kebangkitan Rakyat menjadi petanda besar bahawa Negeri Sembilan sudah cukup ranum untuk perubahan.

Hujan yang turun lebat sejak jam 2 petang tidak sedikit pun membunuh semangat rakyat sekitar Seremban untuk memenuhi padang yang kian becak digenangi air. Malahan menjelang tengah malam, dan sesudah hujan berhenti, bilangannya kian bertambah sehingga dianggarkan melebihi 25 ribu.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil dipindahkan ke Seremban lantaran stadium tersebut akan digunakan untuk sebuah pertandingan bola sepak.

Rancangan untuk berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Seremban juga terpaksa dibatalkan kerana diadakan Konsert Perpaduan Negeri Sembilan, yang dipercayai bertujuan untuk menggagalkan penganjuran perhimpunan Kebangkitan Rakyat.

Perhimpunan tersebut menyaksikan ceramah daripada pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS Tuan Guru Haji Hadi Awang serta Ketua Umum PKR yang diumumkan berkali-kali sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia ke tujuh.

Kit Siang di dalam ucapannya kepada ribuan rakyat pada malam itu membakar semangat perubahan yang kian menyemarak dan mencadangkan supaya konsep AES (Automatic Enforcement System) yang menjadi alat mengayakan kroni oleh Barisan Nasional turut digunakan untuk menghukum para pemimpin korup; disambut sorakan dan persetujuan hadirin yang memenuhi padang.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke di dalam ucapan beliau pula turut menyeru kepada semua lapisan rakyat untuk memenangkan calon-calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Beliau yang baru-baru ini menerima pujian daripada Mursyidul-am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kerana mempertahankan Menteri Besar Kelantan itu di parlimen turut berkata “Jika agama Buddha dihina, saya yakin pemimpin PAS juga akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin PKR akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya” sambil disambut dengan tepukan gemuruh ribuan rakyat yang hadir. Dalam masa yang sama beliau turut menempelak kebiadaban Presiden MCA, Chua Soi Lek yang menghina Tok Guru Nik Aziz.

Majlis turut diserikan dengan bacaan puisi ‘Pelamin Kuasa’ oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said serta persembahan lagu ‘Ubah Sekarang’ yang digubah khas oleh legenda blues terkenal, Ito Blues Gang.

Mat Sabu, yang juga Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat turut berucap dan mengumumkan bahawa perhimpunan seumpama itu, bakal diteruskan di Stadium Muhammad ke-IV di Kelantan pada 16 November ini sebelum diikuti di beberapa negeri mengikut zon  – Pahang, Kedah, Johor, Perak dan seterusnya ke Melaka, Pulau Pinang dan Perlis.-Roketkini.com