Budaya

Deliberasi, komunikasi dalam mencari kata putus Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

FILEM 12 Angry Men arahan Sidney Lumet yang diterbitkan pada 1957 membawa kita menyorot satu proses penting dalam mencari keputusan. Filemnya berkisarkan 12 orang juri yang perlu membuat keputusan untuk satu kes pembunuhan. Kes itu membabitkan seorang remaja 18 tahun berketurunan Mexico yang dituduh membunuh bapanya sendiri. Keputusan yang dibuat mestilah sebulat suara, tidak ada pilihan lain. Sama ada semua 12 orang juri memutuskan bersalah atau semuanya memutuskan tidak bersalah. Sekiranya didapati bersalah remaja itu akan dihukum mati mandatori.

Hampir semua babak dalam filem itu berlatarkan bilik juri dan hanya tiga minit di luar. Uniknya, tiada nama yang disebut dalam sepanjang filem itu melainkan dua nama pada babak akhir. Selain pekerjaan dan sedikit latar belakang, setiap watak hanya dapat dikenali melalui nombor juri.

Proses vs Hasil

Apabila semua juri sudah berada dalam bilik juri dan bersedia untuk mendapatkan keputusan, cadangan diberikan supaya dimulakan dengan undian. Ada yang merasakan itu merupakan cadangan yang baik kerana mungkin keputusan akan diperoleh dengan hanya sekali undi. Memandangkan kebanyakkan juri menyatakan kecenderungan mereka merasakan tertuduh bersalah.

Semua 11 juri mengundi bahawa tertuduh bersalah kecuali juri No. 8. Keputusan tidak dapat diputuskan kerana tidak mencapai sebulat suara. Ketika ditanya kepada juri No.8 mengapa dia tidak mengundi “bersalah”, sedangkan dia mengatakan kemungkinan dia tidak mempercayai cerita tertuduh. Jawapannya:

Well, there were eleven votes for guilty. It’s not easy to raise my hand and send a boy off to die without talking about it first (Terdapat sebelas undi untuk ‘bersalah’. Tidak mudah untuk saya mengangkat tangan dan menghantar budak itu menemui ajal tanpa berbincang mengenainya terlebih dahulu).”

Berulang kali juri No. 8 menegaskan bahawa dia hanya mahu perkara itu dibincang sebelum diputuskan. Melaluinya, penulis skrip kelihatan cuba menyuntik idea bahawa proses itu lebih penting berbanding keputusan. Oleh itu jelas tema penting filem ini tentu sekali berkenaan deliberasi dan komunikasi dalam mencari kata putus.

Deliberasi

Deliberasi adalah satu proses menganalisis dan pertimbangan yang cermat sebelum memutuskan sesuatu. Sebagai manusia yang hidup secara bersama perkara ini sering berlaku dalam kehidupan seharian. Misalnya jika seseorang mahu menjalankan perniagaan kafe, lazimnya dia akan bertanya pandangan orang sekelilingnya. Cuba mendapatkan maklumat berkenaan tempat yang sesuai, teman yang berbeza mungkin akan memberi cadangan berbeza. Selepas pelbagai langkah dipertimbang dengan teliti maka keputusan pun dibuat. Itu adalah contoh mudah deliberasi dalam bentuk komunikasi di dalam kehidupan biasa. Aristotle di dalam Rhetoric pula mendefinisikan deliberatif sebagai pertukaran hujah dalam menentang atau menyokong sesuatu.

Bagaimana deliberasi boleh berjalan apabila mereka yang terbabit berbeza pada segenap sudut? Seringkali proses deliberatif sentiasa cuba dielak kerana bimbangkan ketegangan yang berpunca daripada perbezaan, baik perbezaan nilai, ideologi, pengalaman, sudut pandang dan sebagainya. Adakah perbezaan bukanlah sesuatu yang membina dalam proses deliberatif?

Kembali kepada filem 12 Angry Men, setiap juri mempunyai sikap, latar belakang dan pengalaman yang berbeza. Meskipun perbezaan itu mencetuskan konflik, akan tetapi pada masa sama turut membawa kelebihan. Melalui juri No. 9 yang merupakan seorang warga emas, sebuah persoalan dapat ditimbulkan terhadap seorang daripada saksi. Juri No. 5 yang membesar di kawasan sesak sama seperti tertuduh menyumbang pandangannya berkenaan penggunaan senjata pembunuhan. Pengalaman juri No. 6 yang pernah bekerja berhampiran dengan keretapi bertingkat membantu dalam persoalan suasana apabila keretapi terbabit melintas seraya menimbulkan sekali lagi persoalan terhadap saksi.

Deliberasi lebih bermakna apabila setiap pihak yang terbabit itu berbeza. Katakanlah sekalipun juri No. 8 selepas perbincangan hangat akhirnya akur bahawa tertuduh bersalah. Nilai keputusan itu tentu sekali lebih bermakna untuk semua kerana pandangan itu diperkukuhkan.

Pross deliberasi memperbanyakkan maklumat yang dikumpul. Pertukaran pandangan menyemak semula pilihan kita dan meluaskan sudut pandang. Tidak semua orang tahu semua perkara, perbincangan akan mencantumkan pengetahuan dan meluaskan lagi hujah-hujah.

Deliberasi dan Demokrasi

Di dalam 12 Angry Men, keputusan membabitkan nyawa seorang remaja. Maka juri No. 8 tidak mahu menghantar tertuduh terbabit menemui ajalnya tanpa proses deliberasi. Bagaimana pula dengan dasar sesebuah negara yang memberi kesan kepada lebih ramai manusia?

Demokrasi adalah pemerintahan oleh rakyat, itu jelas. Persoalannya apakah cukup dengan rakyat memilih wakil mereka sekitar lima tahun sekali maka boleh dikatakan “pemerintahan oleh rakyat”? Maka seharusnya konsep “pemerintahan oleh rakyat” ini diluaskan maknanya kepada satu bentuk deliberasi umum dan membabitkan semua pihak. Atau seperti konsep dicadangkan Amartya Sen, peluang untuk setiap warga membabitkan diri dalam diskusi politik dan mampu mempengaruhi pilihan orang ramai.

Mengambil contoh semasa, apakah terdapat proses deliberasi di kalangan warga sebelum berdirinya kilang memproses nadir bumi Lynas atau berkuatkuasanya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan lalu lintas?

Contoh yang disebutkan itu mendapat tentangan hebat. AES sendiri mendapat tentangan malah daripada kalangan anggota parti pemerintah. Adakah penentangan begitu hebat kerana kegagalan mengamalkan deliberasi yang memastikan setiap warga negara (rakyat) dihormati dan didengari suara mereka agar turut menyumbang kepada keputusan akhir? – Roketkini.com