Berita

Kerajaan Perak perlu jelas dakwaan sisa radioaktif di Papan bocor – Sivakumar

IPOH, 24 DIS: DAP Perak menggesa kerajaan negeri mendedahkan laporan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia mengenai kemungkinan wujud pembocoran sisa radioaktif di kawasan Papan, Perak.

ADUN Tronoh, V Sivakumar berkata, ia berikutan penempatan semula sisa radioaktif itu yang ditanam di Papan sejak pertengahan tahun 80-an.

“Adakah kerja ini dilakukan kerana kerajaan terdapat bacaan radioaktif yang

positif di kawasan itu?

“Saya mahu kerajaan negeri bercakap benar berhubung perkara itu menyembunyikan perkara itu kerasa takut reaksi dan bantahan rakyat Perak.” katanya dalam perbahasan di Sidang DUN Perak, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu juga meminta kerajaan menjawab persoalan adakah benar pemindahan semula sisa radioaktif di Papan itu dikebalkan dengan dinding yang boleh bertahan selama 300 tahun.

Beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan berkata, Datuk Bandar Ipoh juga pernah mengatakan bahawa kawasan itu tidak sesuai untuk pertanian dan penternakan kerana dicemari radioaktif.

“Inilah nasib yang diterima negeri yang tercinta ini kerana membenarkan industri yang berbahaya disebabkan ketamakan kerajaan BN,” katanya.

Sehubungan itu, Sivakumar berharap rakyat terus membantah projek Lynas di Gebeng, Kuantan, kerana risikonya yang sama.

“Marilah kita bersama-sama, di sebelah sini dan di sebelah sana, membantah projek Lynas di Kuantan untuk selamatkan ibu bapa, adik beradik, saudara mara dan kaum kerabat kita yang bakal teraniaya jika projek dajal itu diteruskan,

“Kemasukan Lynas ke negara ini seolah-olah kita membenarkan iblis memasuki syurga.” ujar beliau. – Roketkini.com