Berita

Perutusan Natal: Hanya kerajaan pro-rakyat mampu urus negara dengan baik

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kerajaan Pakatan Rakyat dengan segala dasar pro-rakyat yang diketengahkan mampu membawa Malaysia mengecapi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dengan lebih menyeluruh dan adil berdasarkan kepada prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, biarpun prinsip dan idealisma dasar pro-rakyat tidak dipedulikan mereka yang mentadbir negara kini, ia akan mampu terlaksana dengan bertukar kepada sebuah pentadbiran baru yang pro-rakyat.

“Misalnya dengan melaksanakan tender secara terbuka, ia bukan saja idealistik malah menjadi komponen yang realistik untuk dipraktikkan dan inilah yang memberi sumbangan besar kepada pencapaian Pulau Pinang sehingga kini.” Ujar beliau dalam satu mesej sempena Hari Natal yang dikeluarkan.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menambah, tanpa berpegang teguh kepada prinsip, sesuatu dasar itu tidak akan jadi praktikal malah akan timbul isu yang menjadi kekhuatiran rakyat terhadap kepentingan dan hak mereka, antaranya ialah;

* Ancaman kilang pemprosesan nadir bumi Lynas terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat;
* Penswastaan penguatkuasaan dengan membenarkan syarikat swasta mengaut keuntungan dengan saman trafik melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan;
* Skandal RM871 bilion pengaliran keluar wang haram keluar negara sejak 10 tahun lalu.

Dengan adanya kerajaan pro-rakyat, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan bahawa kepentingan rakyat akan menjadi keutamaan untuk sebarang dasar dan projek yang akan dilaksanakan.

“Projek yang mengetepikan rakyat tidak akan lulus ujian tahap integriti seperti ketelusan dan akauntabiliti. Ia akhirnya akan membongkar wujudnya penipuan, ketidakadilan dan bakal mendedahkan keuntungan yang dibolot pihak kroni lebih besar,

“Marilah kita sama-sama berusaha untuk membentuk sebuah kerajaan yang pro-rakyat berlandaskan prinsip integriti yang memberi keutamaan kepada rakyat melebihi keuntungan dengan menghentikan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, AES dan aliran keluar wang haram ke luar negara sebanyak RM871 bilion.” kata Guan Eng.

Dalam semangat sambutan Hari Natal kepada penganut Kristian di Malaysia yang sedang merayakan nikmat keamanan, kemakmuran, keampunan dan penyerahan, Guan Eng sekali lagi mengulangi keyakinannya bahawa hanya kerajaan pro-rakyat yang berjiwa rakyat mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan berpanjangan kepada negara dan semua.

Sempena sambutan hari Natal yang dirayakan penganut Kristian seluruh negara, Setiausaha Agung DAP itu menyeru kerajaan Barisan Nasional (BN) agar membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia di mana penggunaannya dibenarkan di Sabah dan Sarawak lebih 50 tahun lalu malah dipraktiskan sejak lebih 1,000 tahun di Timur Tengah.

“BN juga harus berhenti memainkan sentimen agama dengan dakwaan untuk menubuhkan Negara Kristian bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu supaya menyokong mereka,

“Masyarakat Kristian negara ini tidak pernah meminta untuk mendirikan sebuah negara Kristian tetapi sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia berikrar taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan mengakui bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.” ujar beliau.- Roketkini.com