Budaya

Dilema manusia Melayu moden Oleh Zairil Khir Johari

Ucapan Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute di forum “Selepas P Ramlee: Apa jadi warisan Melayu?” anjuran Penang Institute bertempat di Kepala Batas pada 28 December 2012. Forum tersebut adalah sebahagian daripada Festival P Ramlee yang berlangsung selama sebulan.

Kita berkumpul pada malam ini untuk menghayati program keempat dalam Festival P Ramlee anjuran Penang Institute yang berlangsung selama sebulan.

Festival P Ramlee ini telah diusahakan bukan sahaja demi memperingati dan mendalami karya-karya unggul Seniman Agung negara kita, tetapi juga untuk memperhalusi tema-tema kebudayaan yang tersirat dalam buah kesenian P Ramlee. Justeru, pada malam ini, tajuk yang bakal diwacanakan adalah “Selepas P Ramlee: Apa jadi warisan Melayu?”

Peralihan dalam kebudayaan Melayu

Satu peralihan besar telah berlaku dalam gerakan kebudayaan Melayu di negara kita pada sekitar zaman 1970-an dan awal 1980-an, susulan daripada usaha besar-besaran kerajaan untuk merombak struktur sosio-ekonomi negara. Demi matlamat untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi Melayu, maka terpupuklah keterujaan para pemimpin pada ketika itu untuk membentuk masyarakat Melayu yang terdiri daripada pekerja profesional dan pedagang.

Usaha ini dilihat membuahkan hasil apabila sebahagian orang Melayu telah berjaya beranjak memasuki golongan kelas menengah. Maka terzahirlah manusia Melayu moden yang bertali leher, berkereta, dan berpejabat di syarikat-syarikat korporat.

Namun, rancangan yang diuar-uarkan ini ada juga ketimpangannya. Selain menciptakan beberapa kerat manusia Melayu yang maha kaya serta mengabdikan masyarakat Melayu terbanyak melalui kebergantungan kepada “tongkat” kerajaan, dasar ini juga secara tidak langsung telah meminggirkan aspek yang begitu penting kepada susuk masyarakat Melayu – kebudayaannya.

Keinginan yang meluap-luap untuk menghasilkan manusia Melayu moden telah membongkar orientasi pendidikan negara kita. Tumpuan dan tekanan yang kuat telah mula diberikan kepada bidang-bidang yang bersifat teknikal, iktisas dan gunaan semata-mata, manakala bidang-bidang halus seperti kebudayaan, kesusasteraan dan falsafah bukan sahaja telah diketepikan malah dicemuh sebagai tiada nilai ekonomi dan hanya di awang-awangan. Dengan kata lain, sastera dan budaya hanya untuk mat bunga!

Hasilnya pada hari ini, tiada sebuah pun jabatan apatah lagi fakulti falsafah di mana-mana universiti di Malaysia. Pada hemat saya, ini merupakan suatu tragedi yang amat menyedihkan.

Dasar pembangunan yang meminggirkan dimensi rohaniah ini telah meranapkan sejarah kebudayaan Melayu yang panjang. Maka tersisihlah, sedikit demi sedikit, warisan kebudayaan kita, bukan sahaja dalam karya penulisan, filem dan musik, malah juga dalam reka bentuk bangunan.

Sebagai contoh, jika dahulu jati diri Melayu megah dicerminkan dalam reka bentuk bangunan-bangunan ikonik seperti Masjid Negara, Muzium Negara dan Parlimen, kini semua bangunan kerajaan tampaknya hanya sekadar meniru reka bentuk ala Arab, seolah-olah bangunan berkubah itu merupakan warisan Melayu. Tanpa disedari, warisan kebudayaan kita sedang diganti dengan budaya import.

Warisan merupakan kompas

Sememangnya kita sedar bahawa akan sentiasa wujud pergelutan antara desakan kemajuan dan romantisme warisan. Namun yang berlaku di Malaysia adalah kerakusan semata-mata, sehingga ada yang bertanya, apa perlunya warisan ini? Apa perlunya kebudayaan ini? Apa perlunya P Ramlee?

Sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Rustam Sani, warisan merupakan ungkapan naratif panjang pembangunan intelektual dan kebudayaan yang amat penting dalam memahami keadaan semasa sesuatu masyarakat.

Dalam konteks ini, warisan dapat membantu masyarakat Melayu menyedari hakikat bahawa kedudukan mereka pada hari ini bukanlah sesuatu yang terjelma secara tiba-tiba. Warisan juga dapat membantu kita untuk menentukan ke mana seharusnya landasan bangsa kita dihalakan.

Dalam erti kata lain, warisan dapat menjelaskan dari manakah kita dahulu, di manakah kita sekarang, dan ke manakah kita selepas ini.

Tanpa kesedaran tentang sejarah warisan sendiri, masyarakat Melayu akan kekal sebagai bangsa yang kerdil dan berpandangan jumud. Lebih teruk lagi apabila Melayu hari ini seakan-akan taksub dengan pemimpin yang selama ini sebenarnya meremehkan dan mendangkalkan bangsa sendiri.

Meminjamkan kata Syed Hussein Alatas, akibat pandangan orientalisme yang kemudiannya diperteguhkan oleh pemimpin yang kononnya memperjuangkan bangsa, masyarakat Melayu akan terperangkap dalam “minda tertawan” (captive mind) dengan mempercayai bahawa bangsa mereka tidak berdaya, malas dan akan mati kelaparan tanpa bantuan daripada pelindung.

Jika tidak dibendung, mentaliti terkepung ini akan makin menular dalam sanubari Melayu, sehingga akan datang suatu masa di mana kesenian dan kebudayaan Melayu akan menemui jalan buntu dan hanya dapat dialami melalui filem-filem hitam putih P Ramlee, seolah-olah terperangkap dalam kepompong zaman yang lampau.

Maka, adalah penting kita menggerakkan semula penghayatan warisan kebudayaan kita dengan tidak hanya membicarakan yang silam tetapi juga dengan memikirkan langkah praktikal yang baru bagi membentuk masa depan bangsa yang lebih progresif. – Roketkini.com