Berita

Kesilapan teknikal di pemilihan parti, DAP akui kesalahan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kesilapan teknikal sewaktu pembentangan keputusan pemilihan parti di Kongres ke-16 Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mengakibatkan keputusan yang tidak tepat dalam kedudukan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).Kesilapan tersebut bagaimana pun, tidak mendatangkan kesan yang terlalu besar terhadap 20 kedudukan teratas CEC.

Pegawai Pilihanraya yang bertanggungjawab membuat kiraan akhir dan membentangkan keputusan kepada Kongres, Pooi Weng Keong dalam sidang media di ibu pejabat kebangsaan DAP di ibu kota; menjelaskan bahawa kesilapan tersebut terjadi akibat daripada ralat ketika memindahkan kiraan keputusan menggunakan program komputer Microsoft Excel.

“Akibat daripada kesilapan tersebut, bilangan undi untuk calon-calon nombor 31 ke 38 adalah sama dengan calon-calon bernombor 61 ke 68,”  kata beliau, sambil menambah bahawa kesilapan tersebut tidak disedari oleh pihaknya sehinggalah hari berikutnya dan lantas dilaporkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

DAP memandang serius kesilapan kecil ini dan telah mengarahkan supaya audit dalaman yang dipimpin oleh Dr. Ong Kian Ming, dilaksanakan segera bagi menyiasat kesilapan tersebut. Kian Ming adalah ahli baru DAP yang bertindak sebagai pemerhati sewaktu kongres parti berlangsung; serta tidak mengundi mahupun mempunyai sebarang peranan dalam pengiraan undi.

Bagi memastikan ketelusan, langkah berjaga-jaga diambil dengan melantik juruaudit luar, TCMK Associated Chartered Accountants untuk memeriksa keputusan pilihanraya parti tersebut; dan keduanya mendapati keputusan yang serupa.

“Kedua-dua audit mendapati bahawa calon-calon bernombor 61 ke 68 telah mendapat keputusan yang salah, dengan angka-angka yang sama dengan calon-calon bernombor 31 ke 38,”  tambah beliau lagi yang kemudiannya mendedahkan bilangan undi tepat yang diterima oleh calon-calon terlibat.

Hasil daripada keputusan yang telah dibetulkan ini, calon nombor 63, Wu Him Ven (Vincent) sepatutnya hanya mendapat 669 undi dan bukan 1202 undi; yang kini meletakkannya di tangga ke 26.

Delegasi beri mandat kepada pimpinan Melayu

Apa yang menarik adalah keputusan undi untuk calon nombor 65, Zairil Khir Johari yang pada mulanya dilaporkan menerima bilangan undi yang sama dengan calon nombor 35, Manogaran a/l Marimuthu sebanyak 305 undi sebenarnya telah menerima 803 undi, yang secara automatik meletakkan beliau ke tangga ke-20 dan terlantik ke dalam CEC.

Dihubungi untuk mengulas tentang keputusan mengejutkan ini, Zairil berkata bahawa kesilapan adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.

“Yang lebih penting, tindakan DAP memperbetulkan kesilapan ini jelas menunjukkan bahawa hal ketelusan dan integriti amat diutamakan, walaupun parti berdepan risiko dimanipulasi oleh pihak lain,” ujarnya.

Zairil juga menambah, “Ini juga membuktikan bahawa keputusan saya untuk menyertai DAP berdasarkan tanggapan bahawa DAP adalah parti yang berintegriti dan mengamalkan ketelusan adalah keputusan yang betul.”

Keputusan yang telah diaudit ini memperlihatkan bahawa delegasi Kongres ke-16 DAP adalah sebenarnya tidak anti-Melayu seperti yang difitnahkan oleh media arus perdana milik UMNO dan Barisan Nasional apabila pada mulanya dilaporkan tidak ada calon Melayu yang terpilih ke CEC.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata CEC telah bermesyuarat pada malam ini untuk memperbetulkan kesilapan keputusan pemilihan parti tersebut dengan saudara Zairil sebagai ahli yang dipilih melalui undi delegasi; manakala saudara Vincent menjadi ahli lantikan.

“Selain hakikat bahawa kini saudara Zairil secara rasminya adalah ahli CEC melalui pemilihan, komposisi CEC tidaklah berubah,” ujar Tony.

Bagi Vincent, beliau menerima keputusan ini dengan lapang dada.

“ Pada masa yang sama, saya mahu tekankan bahawa keputusan muktamad ini tidak akan menghalang saya daripada menjalankan idealisme dan prinsip-prinsip parti,”  kata beliau dalam sebuah kenyataan media.

“Saya akan terus berkhidmat untuk parti sebaik mungkin dan berterima kasih kepada pihak CEC yang telah melantik saya sebagai Pembantu Setiausaha Organisasi. Saya percaya kesilapan teknikal ini tidaklah disengajakan,”  kata beliau.  - Roketkini.com