Berita

Malaysia patut duduki tempat lebih baik daripada ke-36 dalam indeks “Negara terbaik untuk dilahirkan pada 2013” EIU

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Malaysia sepatutnya menduduki tempat lebih baik berbanding ke-36 daripada 80 negara dalam indeks “Negara terbaik untuk dilahirkan pada 2013” yang diusahakan Economist Intelligence Unit (EIU) dalam mengukur negara yang memberi peluang terbaik untuk kehidupan yang sihat, selamat dan makmur.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Malaysia mampu melakukan lebih baik daripada kedudukan EIU itu juga dalam indeks global lain, samada mengenai kerajaan yang bersih dan tidak korup, statistik jenayah, hak asasi manusia, kedaulatan hukum, kebebasan badan kehakiman, kebebasan akhbar atau persekitaran bersih.

Katanya, Malaysia kini diatasi Taiwan yang menduduki tempat ke-14, Amerika Syarikat (ke-16), Emiriah Arab Bersatu (8), Korea Selatan (9), Kuwait (22), Japun (25) dan Britain (27).

“Malaysia mendapat 6.62 mata daripada 10 mata dalam kajian tinjauan kepuasan hidup, yang bertujuan menyatakan kuantiti betapa gembira seseorang itu berdasarkan senarai 11 indikator ekonomi dan sosio-politik seperti pendapatan negara per kapita, kos hidup, hak asasi manusia, harapan kehidupan, celik huruf dan tahap pendidikan, jenayah, keyakinan terhadap institusi awam dan kesejahteraan kehidupan keluarga,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurt beliau, ini adalah antara isu yang perlu diputuskan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan tiba nanti.

Negara yang berada di tempat ke-10 teratas dalam indeks “Negara terbaik untuk dilahirkan pada 2013” EIU adalah Switzerland, Australia, Norway, Sweden, Denmark, Singapura, New Zealand, Belanda, Kanada dan Hong Kong. – Roketkini.com