Berita

Kerajaan Sarawak didesak turun 33 peratus tarif elektrik

KUCHING, 10 JAN: Kerajaan BN Sarawak digesa menurunkan tarif elektrik sebanyak 33 peratus yang dikenakan kepada sektor komersil dan industri negeri ini bagi meringankan beban kos operasi sektor itu memandangkan pelaksanaan gaji minimum yang akan dimulakan tahun ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen, berkata Syarikat Sesco Berhad (Sesco) yang dinaungi Sarawak Energy Berhad di bawah kerajaan negeri mampu menguruskan keuntungan mereka walaupun tarif dikurangkan sehingga 33 peratus atau satu per tiga berdasarkan keuntungan besar yang dicatat.

“Jika rujuk kepada penyata kewangan Sesco pada 2010, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM386 juta. Ia satu keuntungan yang besar,” jelas beliau dalam satu sidang media.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata, walaupun penyata kewangan untuk 2011 masih belum dikeluarkan, pihaknya menjangkakan Sesco akan mendapat keuntungan yang lebih besar berikutan Empangan Bakun yang mula beroperasi pada 2011.

“Sesco membeli elektrik daripada Bakun dengan harga 6.2 sen setiap unit dan menjual kepada pengguna samada sektor industri, komersil dan domestik dengan purata 33 sen seunit.

“Ini bermakna mereka untung 26 sen seunit. Jika tarif dikurangkan sebanyak satu per tiga, Sesco masih boleh meraih keuntungan sebanyak 22 sen seunit,” ujar beliau.

Tambah Chong, bagi penggunaan domestik, rakyat Sarawak cuma mengguna 1,200 megawatt (MW) elektrik dari empangan Bakun yang mampu menjana sehingga 2,400 MW.

“Jika bekalan sebanyak 1,200 MW dijual pada harga 16 sen seunit kepada rakyat, Sesco masih mampu menjana untung ratusan juta ringgit setiap tahun.

“Pelaksanaan gaji minimum bukan beerti meletakkan beban kepada sektor lain. Apabila tarif elektrik dikurangkan, ini akan mengurangkan beban rakyat juga,” katanya.

Kos sara hidup di Sarawak adalah tinggi malah di sesetengah kawasan luar bandar seperti Bario, kos sara hidup jauh lebih tinggi berbanding kawasan bandar dan di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, selain isu kadar tarif elektrik, pelaksanaan gaji minimum RM800 bagi pekerja sektor swasta yang diumumkan kerajaan sebelum ini mendapat maklum balas berbeza daripada majikan.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Mohamad Ibrahim Hamid pula secara lantang menyifatkan kadar gaji minimum RM800 bagi Sarawak sebagai tidak adil berbanding cadangan gaji minimum oleh Pakatan Rakyat iaitu sebanyak RM1,100.-Roketkini.com