Budaya

Toy Story 3 dan kuasa Oleh Edry Faizal

Baru-baru ini, ketika sedang beristirehat, saya telah menonton sekuel ketiga Toy Story yang disiarkan di televisyen. Saya cuma pernah menonton sekuel pertamanya 18 tahun lalu. Filem animasi ini berkisarkan kehidupan pelbagai jenis mainan milik sorang kanak-kanak bernama Andy.

Toy Story 3 pula mengisahkan Andy yang sudah mencecah 18 tahun dan main-mainan milik Andy mula merasakan mereka diabaikan Andy. Pada suatu hari, emak Andy tanpa sengaja membuang bungkusan yang berisikan mainan Andy kerana menyangka ia sampah. Mereka kemudiannya membawa diri masuk ke dalam kotak barangan untuk didermakan kepada pusat jagaan kanak-kanak Sunnyside.

Tiba di pusat penjagaan kanak-kanak Sunnyside, mereka bertemu dengan pelbagai jenis mainan lain. Mainan-mainan itu diketuai oleh Lotso, si beruang teddy yang ramah. Lotso menunjukkan kawasan sekeliling, sebuah dunia ideal buat para mainan. Lotso memaklumkan mereka bahawa di situ ramai kanak-kanak akan bermain dengan mereka. Mereka juga akan sentiasa disayangi dan tidak akan terbiar. Tidak seperti keadaan ketika bersama Andy. Maka mereka pun bersetuju untuk tinggal di Sunnyside. Lotso menempatkan mereka di bilik bernama Caterpillar. Rupa-rupanya bilik Caterpillar adalah tempat anak-anak kecil yang bermain dengan ganas dan sentiasa merosakkan mainan. Berbeza dengan bilik Butterfly, bilik kanak-kanak yang lebih dewasa, tempat Lotso dan konco-konconya tinggal dengan aman.

Mereka merasa terperdaya dan cuba untuk melarikan diri. Akan tetapi ditangkap oleh Lotso dan konco-konconya lalu disumbatkan ke dalam ‘penjara’. Barulah terserlah wajah sebenar Lotso. Dipendekkan cerita, mereka cuba diselamatkan oleh Woody, si boneka koboi yang sejak awal membuat keputusan tidak mahu tinggal di Sunnyside. Sekali lagi cubaan itu dipatahkan Lotso. Ketika itu, di hadapan mereka adalah tong sampah dan tiada jalan untuk berundur. Lotso mengatakan dia memerlukan mainan untuk diletakkan di bilik Caterpillar, mereka pula perlu mengelak daripada terhumban ke tong sampah. Maka lebih baik mereka kembali ke Sunnyside.

Si patung Barbie memarahi Lotso dengan ungkapan menarik, “Authority should derive from the consent of the governed, not from the threat of force! (Kuasa mestilah diperoleh melalui persetujuan mereka yang diperintah, bukan dengan ancaman kekerasan)”

Persetujuan

Persoalan mengenai persetujuan dan kekuasaan negara mempunyai perbahasan yang panjang. Adakah sesebuah negara hanya mempunyai autoriti ke atas rakyatnya jika rakyatnya, secara terang-terangan atau samar-samar bersetuju untuk diperintah? Bagaimanakah sekiranya kita memilih untuk tidak memberi persetujuan, apakah negara masih mempunyai autoriti ke atas kita?

Barbie membawa hujah bahawa kuasa lahir daripada persetujuan warga yang dikuasai. Penguasaan Lotso tidak sah jika mereka sendiri tidak mahu patuh kepadanya secara rela. Ini kerana pada asalnya semua mainan dalam keadaan bebas, bukan di bawah kekuasaan sesiapa. Malah dalam babak itu, Lotso meletakkan mereka di dalam keadaan bahaya kemudian menawarkan keselamatan. Meletakkan mereka dalam keadaan terpaksa memilih keselamatan. Ilusi pilihan, kelihatan seperti ada dua pilihan. Hakikatnya mereka ditekan untuk memilih patuh. Katakanlah babak itu tidak berlaku dan Latso adalah beruang teddy yang baik. Apakah Barbie masih berhak bebas untuk tidak bersetuju terhadap autoriti Latso?

Mari cipta sebuah hipotesis dan mengembangkan imaginasi kita memandangkan babaknya tiada di dalam Toy Story 3. Sebelum kemunculan Lotso, pasti tiada mainan yang mahu ke bilik Caterpillar. Walhal mustahil bilik jagaan kanak-kanak itu tidak ada langsung mainan! Maka akan sentiasa berlaku perkelahian di kalangan individu atau mungkin puak. Bercakaran siapa yang sepatutnya dihantar ke bilik Caterpillar dan siapa kekal di bilik Butterfly. Perlunya wujud pihak neutral dan berkuasa bagi menyelesaikan dengan adil.

Lotso yang muncul bersama temannya Big Baby, sebuah patung bayi yang besar dan kuat,  mampu menghentikan huru-hara sekiranya diwujudkan kuasa dan diwakilkan kepadanya. Menguatkuasakan sistem yang dapat memastikan keteraturan. Hak dan keadilan juga memerlukan kuasa untuk memastikan ia terpelihara maka mengapa perlu menunggu persetujuan? Selagi mana penguasa memerlukan warganya bertindak mengikut cara yang sepatutnya mereka bertindak, mereka mempunyai tanggungjawab untuk bertindak sedemikian.

Kuasa

Toy Story 3 turut memaparkan kuasa yang berpusat pada satu sosok boleh merosakkan. Lotso yang diwakilkan kuasa kepadanya, akhirnya cenderung bertindak zalim. Mainan-mainan baru seperti mainan Andy, terus dihantar ke bilik Caterpillar bagi memastikan dirinya dan konco-konconya selamat. Sesiapa yang menentangnya dipasung. Sunnyside dikawal seperti penjara. Kesan apabila kuasa telah melekat pada satu-satu individu atau kelompak dan bukannya dikongsi semua.

Baik kebebasan penuh individu memilih tidak mematuhi autoriti atau kekuasaan penuh yang tidak hormat pada pandangan warganya, kedua-duanya ada ketempangan.

Mungkin isu bagaimana warga penduduk Sunnyside perlu menyatakan persetujuan mereka tidak perlu timbul. Begitu juga dengan persoalan apakah penguasaan itu wujud daripada secara terpaksa atau sukarela. Yang lebih utama adalah apakah hukum yang ingin dipaksakan penguasa itu adil dan selaras dengan kehendak rakyat yang munasabah.

Yang pasti selepas ketiadaan Latso, para mainan di pusat jagaan Sunnyside kembali hidup dengan gembira. Bilik Caterpillar bukan lagi alat kegunaan penguasa sewenang-wenangnya. Bilik itu menjadi tempat olahraga buat para mainan warga Sunnyside. Bergilir-gilir dimainkan anak-anak kecil yang ganas.