Berita

KL112: “Lagi keras dia halang, lagi lekas dia tumbang” – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR 13 JAN: Sentimen agama dan perkauman yang dimainkan BN dan konco-konconya adalah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat Malaysia terhadap skandal rasuah melampau dan penyelewengan harta negara yang berlaku secara terang-terangan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sekiranya BN dengan adil menggunakan dasar dan prinsip mereka untuk menentang Pakatan Rakyat (PR), sudah lama parti itu “hancur”.

Katanya, kebenaran menggunakan Stadium Merdeka kali ini dengan kerjasama baik pihak polis menandakan BN sedar sekiranya mereka menentang arus kebangkitan rakyat dengan keras, mereka berhadapan risiko yang lebih besar.

“Lagi keras dia halang, lagi lekas dia tumbang!

“Sekarang semua kita sedar, kita bangun, kita sudah tidak boleh tahan dengan rasuah yang dilakukan BN. Kali ini kita nak ubah mereka. Kita mesti merdekakan Malaysia, tumbangkan BN,” katanya berucap dalam Perhimpunan KL112.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, perhimpunan raksasa kali ini adalah satu sejarah buat negara kerana bermulanya perkiraan seluruh rakyat ke arah Malaysia yang baru dengan perpaduan yang utuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

“Kami mahu hidup bermaruah dengan kebebasan, kebenaran dan keadilan. Kita mahu hidup dengan demokrasi, dengan kebajikan dan dengan integriti buat seluruh rakyat dan negara,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Beliau berkata, rakyat sudah bijak menilai permainan politik kotor BN setelah 56 tahun mereka cuba memperbodohkan rakyat Malaysia dengan sentimen perkauman.

“Kenapa kita perlu percaya kepada BN yang kata hanya orang Melayu boleh jaga Melayu, hanya Cina boleh jaga Cina, hanya India boleh jaga India, hanya Iban boleh jaga Iban, hanya Kadazan jaga Kadazan? Kita nak buktikan disini samada siapapun kita, kita boleh jaga antara satu sama lain.

“PR mengulangi impian kita, bahawa negara Malaysa adalah milik 28 juta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum baik Cina, Melayu, India , Kadazan, Iban dan orang Asal, ini semua anak Malaysia!” tegasnya.

Tegasnya, perubahan yang dikehendaki rakyat bukan sekadar satu impian, kerana terbukti
pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat ini.

“Sekarang bukan saja perubahan di tangan kita, tapi Malaysia baru juga di tangan kita,” ujar beliau.-Roketkini.com