Berita

PRU-13 penentu PR atau BN teraju Putrajaya – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah medan penentu sama ada Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN) yang akan memenangi perlumbaan ke Putrajaya.

Katanya, berdasarkan ramalan beberapa pihak sebelum ini, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa PR akan menang dengan majoriti lima atau 10 peratus atau kelebihan 12 hingga 22 kerusi Parlimen.

Petang semalam pula, Bank Islam Malaysia menjarakkan diri daripada ramalan Ketua Penganalisis Ekonominya pada satu forum di Singapura bahawa Pakatan Rakyat (PR) boleh menang dengan majoriti kecil pada PRU-13 nanti.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat menyatakan bahawa Bank Islam bukanlah pihak di dalam Regional Outlook Forum pada Khamis, dan “tidak terbabit dan tidak berkaitan dalam forum itu,” dan mengenaggap pandangan Penganalisis Ekonominya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin sebagai “pandangan peribadi beliau dan tidak patut dikaitkan dengan Bank Islam,”

Pada Singapore Regional Outlook Forum, Azrul meramalkan BN mungkin menang hanya antara 97 dan 107 kerusi Parlimen dan Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan dengan majoriti antara lapan dan 28 kerusi Parlimen.

“Tidak mengapa sama ada unjuran Azrul adalah anggaran rasmi atau tidak rasmi Bank Islam, hakikatnya pemimpin UMNO/BN juga turut meramal keputusan yang sama berdasarkan maklum balas dan pengiraan mereka. Ini menunjukkan PRU-13 akan menjadi penentu sama ada PR atau BN yang akan menerajui pemerintahan di Putrajaya nanti,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 89 hari ke PRU-13, semalam..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Menteri Besar Johor memberi senario dan ramalan yang hampir sama dengan Azrul ketika bercakap kepada pertubuhan Cina Kulai pada Selasa lalu.

“Ghani menganggarkan PR boleh menang pada PRU-13 dengan majoriti antara 12 – 22 kerusi Parlimen amat hampir dengan anggaran Azrul bahawa PR boleh menang dengan majoriti lapan hingga 28 kerusi.

“Apakah ramalan MB Johor itu akan disuruh menarik balik bahawa PR boleh menang PRU-13 dengan majoriti lima atau 10 peratus atau majoriti 12-22 kerusi?,” katanya. – Roketkini.com