Berita

“Saya tidak akan patah semangat” – Zairil Khir Johari

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Serangan Tunku Aziz Ibrahim terhadap keturunan Zairil Khir Johari, yang menganggap anak bekas menteri itu sebagai usaha menghancurkan semangat beliau yang tidak akan berjaya.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataannya hari ini kesal terhadap pendekatan politik yang dibawa bekas ahli DAP itu yang baginya sudah tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Saya amat dukacita dan kecewa membaca serangan Tunku Aziz ke atas keturunan dan nama baik keluarga saya. Saya percaya politik sebegini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, dan saya kesal kerana kenyataan itu datangnya daripada seorang yang berkedudukan seperti beliau,” katanya.

Tunku Aziz dalam laporan akhbar The New Straits Time hari ini mendakwa kononnya Zairil bukanlah seorang Melayu kerana ibu bapa biologinya berketurunan Cina. Tunku Aziz turut mendakwa kononnya beliau mengenali arwah Tan Sri Mohd Khir Johari yang mengambil Zairil sebagai anak angkat.

“Saya tahu siapa ayahanda saya, dan bagi saya itu sudah mencukupi,” jelas Zairil sambil menyatakan beliau berbangga kerana bukan saja mewarisi darahnya, malah berharap untuk mewarisi integriti, ketabahan dan prinsip Allahyarham Khir Johari.

“Arwah ayahanda saya, Allahyarham Khir Johari, tidak pernah sesekali mengalah dalam perjuangannya untuk tanah air,” tambah beliau.

“Saya sedar bahawa mereka yang menganiayai saya ingin menghancurkan semangat saya. Namun begitu, sekiranya saya mengalah, saya bukan saja akan mengkhianati diri, malah mengkhianati warisan ayahanda saya,” ujarnya terhadap serangan Tunku Aziz yang dibuat lantaran pembetulan kesilapan teknikal sewaktu pemilihan parti DAP baru-baru ini yang meletakkan Zairil sebagai pimpinan Melayu yang dipilih menduduki Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Tunku Aziz meninggalkan DAP setelah berbeza pendapat mengenai perhimpunan Bersih 3.0 tahun lalu. – Roketkini.com