Berita

Lagi cubaan curi “Trak Ubah” jentera kempen DAP

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Satu laporan polis dibuat berikutan cubaan kedua mencuri Trak Ubah milik DAP yang diletakkan di lot parkir bersebelahan Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di Jalan Yew, di sini, pagi semalam.

Menurut saksi iaitu seorang pengawal keselamatan parkir dan seorang penjual sayur di Pasar Pudu tidak jauh dari tempat trak itu diletakkan, mereka menghampiri seorang lelaki berketurunan India yang dipercayai cuba mencuri trak itu apabila melihatnya berkelakuan mencurigakan.

Dua saksi berkenaan kemudian pergi untuk menyoal suspek yang sedang berada dalam trak itu, bagaimanapun sebelum menjawab satu panggilan telefon lelaki India itu berjaya melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan di belakang trak itu.

Trak berharga kira-kira RM150,000 itu adalah model yang sama dengan Trak Ubah DAP yang hilang dicuri di Skudai, Johor, November tahun lalu.

Pada sidang media di lokasi kejadian, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng menunjukkan peralatan yang ditinggalkan suspek antaranya penukul, spanar dan beberapa peralatan lain yang dipercayai akan digunakan untuk mencuri trak itu.

Beliau berkata, seorang pegawai parti menerima panggilan daripada seorang pemilik sebuah restoran berhampiran iaitu Puan Lee yang memberitahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.50 pagi.

“Pegawai parti terbabit kemudian menghubungi seorang lagi rakannya dan terus bergegas ke lokasi kejadian. Setelah diperiksa mereka dapati suspek sudah merosakkan kotak gear dan stering trak itu,” ujar Lim yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Menurut Puan Lee, dua saksi itu menceritakan kepadanya kejadian yang berlaku tetapi ketika sidang media itu diadakan kira-kira jam 2.30 petang, saksi berkenaan sudah pulang dan tidak lagi berada di lokasi berkenaan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu bermotif sabotaj.

“Ini kerana ada lori dan kereta lain yang lebih mahal di situ, tapi mengapa suspek terbabit mensasar untuk mencuri trak milik DAP.

“Trak Ubah yang hilang di Skudai sejak November lalu hingga sekarang masih belum ditemui. Jika pencuri itu berjaya mencuri sebuah lagi trak Ubah itu, ini bermakna DAP hanya mempunyai Ubah Dream Machine untuk digunakan untuk kempen pilihan raya umum nanti,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Cheras.

Tambahnya, pihak parti berharap dapat mengganti trak yang sudah hilang itu sebelum pilihan raya umum nanti untuk kegunaan pelbagai aktiviti dan kempen pilihan raya.

Bendahari DAP Kebangsaan, Fong Kui Loon pula percaya suspek itu tidak berseorangan melakukan perbuatan itu.

“Berdasarkan insiden yang berlaku, kemungkinan suspek adalah daripada kumpulan pencuri trak dan lori profesional di sekitar Lembah Klang dan menganggarkan kerosakan yang dialami itu membabitkan kos pembaikan kira-kira RM3,000 ,” katanya.

“Selepas peristiwa ini, parti memutuskan akan meningkatkan langkah keselamatan terhadap kenderaan parti termasuk memasang sistem anti-kecurian dan sistem pengesanan satelit (GPS),” jelas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu.

Penolong Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wu Him Ven dan Thomas Su serta pegawai parti Chu Toon Ming, hadir sama pada sidang media itu. – Roketkini.com