Budaya

Ponggal, bukan sekadar pesta menuai Oleh Uthaya Sankar SB

Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghadiri “Pesta Ponggal Bukit Bintang” di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008. Tarikh itu adalah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (8 Mac 2008).

Pada 13 Januari 2013, Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri sekarang) menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana, Klang. Agak menarik kerana PRU-13 akan (terpaksa) diadakan dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, usahlah ada sesiapa yang mempertikaikan kenapa seorang pemimpin Melayu (baca: pemimpin Umno) perlu menghadiri suatu acara yang selalunya dikaitkan dengan budaya kaum India dan agama Hindu.

Secara tradisi, Ponggal dirayakan oleh penduduk (petani dan penternak) di Tamil Nadu dan Andra Pradesh, India. Bagaimanapun, keadaannya agak berbeza kini kerana Ponggal disambut oleh hampir semua penduduk kaum India tanpa mengira keturunan dan batas geografi.

Ponggal diakui adalah “Pesta Menuai” dan disambut pada permulaan bulan Thai (Januari/Februari) mengikut kalendar Tamil. Malah, di Tamil Nadu, Ponggal adalah jauh lebih penting dan meriah berbanding Deepavali. Ada juga kelompok yang menganggap Ponggal sebagai tarikh tahun baru.

Masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Kaamatan pada 30-31 Mei 2013 manakala masyarakat Dayak (Iban dan Bidayuh) bakal menyambut Gawai pada 1-2 Jun 2013. Kedua-duanya ada kaitan rapat dengan pesta menuai yang sebenarnya berciri sejagat.

Berbalik pada soal pemimpin Melayu menghadiri acara kaum India, usah kita lupa akan kisah dalam Sejarah Melayu apabila Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama (Sang Si Perba) muncul di Bukit Siguntang, Palembang. Wan Empok dan Wan Malini bertanam padi. Maknanya, Ponggal atau pesta menuai memang sudah sebati dengan budaya Melayu sejak zaman dahulu; dengan kedatangan agama Hindu seperti terbukti menerusi Sejarah Melayu.

Pada masa sama, mungkin muncul sedikit kekeliruan apabila Najib mengadakan Pesta Ponggal pada 13 Januari 2013, iaitu sehari sebelum tarikh sebenar. Mungkin tidak ada sesiapa yang membisikkan kepadanya bahawa hari sebelum Ponggal adalah Boghi.

Makna simbolik di sebalik Boghi

Saya pernah menghuraikan menerusi sebuah makalah di majalah Dewan Budaya (Januari 2004) mengenai sambutan Ponggal. Saya fikir, tidak salah jika maklumat berkaitan diulang sembilan tahun kemudian demi manfaat masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini di mana kepelbagaian diraikan dengan semangat Bangsa Malaysia.

Pada hari terakhir bulan Margali mengikut kalendar Tamil, unggun api dipasang di luar rumah atau di tanah lapang. Barangan lama yang sudah tidak diperlukan dibakar dalam unggun berkenaan. Secara simbolik, Boghi menandakan usaha masyarakat untuk membuang apa-apa yang “lama” dan “negatif”, lalu diganti dengan yang “baru” dan “positif”. Membakar barangan lama itu hanyalah simbolik kepada usaha mengubah diri. Budaya India dan agama Hindu memang kaya dengan simbol, ikon serta penanda dan petanda.

Maka, apabila pesta diadakan di Padang Ceti, Tengku Kelana pada Ahad lalu (hari Boghi), tidak mustahil bahawa ada makna simbolik dan tersirat yang cuba disampaikan penganjur kerana mereka secara penuh sedar “mengumpulkan” wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di tengah padang, sehari sebelum Ponggal.

Purana (kisah dongeng, mitos dan legenda India) tidak mempunyai apa-apa cerita mengenai asal-usul Ponggal. Bagaimanapun, ada satu cerita yang menarik mengenai Dewa Indra iaitu dewa yang diraikan pada perayaan Boghi.

Mengikut cerita tradisional, Dewa Indra adalah dewa yang mengawal awan dan hujan. Jadi, Dewa Indra diraikan oleh petani kerana berterima kasih atas pemberian hujan bagi membolehkan penanaman padi. Hampir sama seperti konsep “kini masa balas budi” yang digunakan oleh BN.

Kononnya, Dewa Indra menjadi bongkak dan sombong; sama seperti BN. Lalu, Dewa Krishna mengarahkan petani dan pengembala lembu supaya memuja Gunung Govardhan pada perayaan Boghi. Tindakan ini menyebabkan Dewa Indra marah lalu cuba menghukum penduduk terbabit dengan membawa hujan lebat dan petir ke kampung berkenaan.

Dewa Krishna pula mengangkat Gunung Govardhan supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh berlindung di bawahnya. Mengikut cerita, akhirnya Dewa Indra bertaubat dan memohon maaf kepada Dewa Krishna. Dewa Indra kembali dipuja pada perayaan Boghi, iaitu sehari sebelum perayaan Ponggal.

Sambutan Ponggal pada hari pertama bulan Thai (14 Januari 2013, misalnya) adalah khas bagi Dewa Suria (matahari) yang diakui adalah sumber tenaga dan penyumbang utama bagi pertanian. Para petani yang baru selesai menuai hasil pertanian padi mempunyai alasan untuk berpesta. Pesta ini pula diadakan secara simbolik melalui perayaan Surya Ponggal.

Cara Ponggal diraikan secara tradisi

Tapak yang dijadikan tempat perayaan dibersihkan. Lukisan kolem menggunakan serbuk beras pelbagai warna juga menjadi semacam kemestian. Biasanya, corak matahari dilukis sebagai tanda meraikan Dewa Suria. Sebuah periuk baru diletak di atas dapur yang ditempatkan di bahagian tengah lukisan kolem itu.

Daun mangga dan daun kelapa yang dianyam juga digantung di keliling tapak perayaan. Pokok tebu turut diikat. Ketul kecil kunyit, halia dan daun mangga pula diikat pada leher periuk yang akan digunakan untuk memasak beras yang baru dituai.

Bagi sejumlah 15,000 penduduk yang menyertai Himpunan Semenyih anjuran Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) di Tesco Semenyih pada 12 Januari 2013, mereka tidak perlu risau kerana masing-masing menerima sekampit beras untuk memasak nasi manis sempena Ponggal.

Segalanya ternyata mempunyai makna simbolik yang wajar diketahui. Daun mangga hijau adalah lambang kemakmuran; kunyit lambang upacara suci; dan halia melambangkan rempah-ratus kehidupan. Tebu pula lambang kemanisan. Seperti saya nyatakan, budaya India memang kaya dengan makna simbolik. Golongan yang bersikap etnosentrik dan tidak tahu makna-makna simbolik ini ketara memperlekeh budaya masyarakat India.

Berbalik pada sambutan Ponggal, beras baru dimasak sebagai tanda permulaan bulan Thai mengikut kalendar Tamil. Sewaktu sakarai ponggal (nasi manis) mula meluap, orang ramai akan melaungkan kata-kata “Ponggalo, ponggal” dengan gembira.

Laungan itu adalah tanda kegembiraan dan harapan semoga kebahagiaan, kemakmuran dan rezeki meluap-luap dalam hidup mereka. Sakarai ponggal itu dipersembahkan kepada Dewa Suria sebelum dimakan bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan sebagai simbol berkongsi kemakmuran, rezeki dan masa depan yang cemerlang.

Hari kedua pada bulan Thai (15 Januari 2013) adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas bagi lembu-lembu peliharaan. Dewa Ganesha (dewa berkepala gajah) dan Dewi Shakti turut dipuja pada hari berkenaan.

Perlu ditekankan bahawa masyarakat India tidak memakan daging lembu bukan atas alasan atau larangan agama. Sebaliknya adalah kerana lembu merupakan haiwan yang sangat berguna dalam hidup masyarakat petani sejak dahulu. Malah, lembu peliharaan dianggap sebagai ahli keluarga. Lembu betina membekalkan susu manakala lembu jantan membantu di sawah.  Saya pernah menghuraikannya menerusi sebuah makalah di Free Malaysia Today (5 Disember 2011)

Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India – khususnya petani dan penternak lembu tenusu – kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, Maatu Ponggal tidak membawa sebarang unsur animisme; sebaliknya adalah tanda kesedaran masyarakat  tradisional tentang pentingnya lembu dalam kehidupan seharian.

Sharifah Zohra Jabeen tidak perlu bimbang

Pada hari Maatu Ponggal, lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan sakarai ponggal yang dimasak khas untuknya. Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan.

Maka, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary @ Nikki Da Best selaku Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) merangkap bekas Timbalan Ketua Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan tidak perlu bimbang kerana dalam budaya India-Hindu, lembu tidak dibunuh dan dijadikan makanan. Beliau boleh terus menumpukan perhatian pada kucing, anjing, ikan dan jerung.

Sementara itu, pada hari ketiga bulan Thai, lembu jantan biasanya dibawa ke tanah lapang di mana beberapa permainan khas diadakan. Maka bermulalah Kaalai Ponggal. Walaupun tidak menjadi kebiasaan di Malaysia, Jalli Kattu dan Manji Virattu iaitu pertandingan menangkap lembu jantan masih popular di Tamil Nadu dan Andra Pradesh.

Kedua-duanya membuka peluang kepada golongan pemuda (baca: bujang) untuk mempamerkan keperwiraan mereka dengan cara mengejar lembu jantan atau bertarung dengan lembu berkenaan. Khabarnya, mudahlah untuk mereka memikat hati gadis pujaan dengan cara ini.

Golongan pemudi (baca: gadis) pula terlibat dalam Kanni Ponggal di mana mereka akan berkumpul beramai-ramai dan memasak sakarai ponggal di kawasan terbuka. Mereka mendoakan kebahagiaan untuk keluarga serta mengharapkan segera bertemu jodoh. Secara simbolik, kehadiran mereka di khalayak ramai membuka peluang kepada orang-orang tua untuk merisik mereka bagi dijadikan menantu.

Kaalai Ponggal dan Kanni Ponggal membuka peluang untuk bertemu jodoh. Sebab itulah masyarakat India sering mengungkapkan, “Bila tiba bulan Thai, jalan akan terbuka” – dengan erti kata, akan terbukalah peluang untuk bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga.

Ungkapan ini ada juga kebenarannya mengikut amalan tradisi petani kaum India kerana apabila mendapat hasil lumayan berikutan tuaian padi yang banyak, maka ibu bapa akan mampu mengatur majlis perkahwinan anak-anak. Bagi kaum India di Malaysia, mungkin perkara seperti ini sudah tidak logik, tetapi harus diingat bahawa perkara ini masih menjadi amalan di India.

Walaupun hanya sekumpulan kecil kaum India di negara ini terlibat dalam penanaman padi dan penternakan lembu, Ponggal masih diraikan rata-rata masyarakat berkenaan sebagai meneruskan tradisi dan menghayati makna simbolik yang terkandung di dalamnya. Maka, amat wajar bagi masyarakat pelbagai kaum untuk mengetahui kisah di sebalik sambutan perayaan ini dengan semangat Bangsa Malaysia.

________________________________________

[* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com dan boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]]