Berita

Forum “Kebebasan Akademik dan Hak Asasi” malam ini

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Forum kebebasan akademik tetap diadakan di Dewan Perniagaan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH), di sini, malam ini walaupun tanpa kehadiran wanita “listen, listen, listen” kerana hak asasi pelajar dan pensyarah lebih penting untuk dibincangkan.

Forum itu berhasrat mempertemukan semula dua wanita yang bertembung idealisma dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) bulan lalu sehingga mencetuskan fenomena di negara ini.

Menurut penganjur, forum itu adalah medan terbaik buat Sharifah Zohra Jabeen daripada NGO, Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) dan mahasiswa, KS Bawani, seorang aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) berhujah dengan tatacara sebenar.

Selain dua panelis itu, pihak penganjur turut menampilkan ahli panel di kalangan ahli akademik pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Pensyarah Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Orang ramai dijemput menghadiri forum “Kebebasan Akademik dan Hak Asasi” yang akan diadakan mulai jam 8 malam ini di KLSCAH anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Indipendent Student Front (INSTEF). – Roketkini.com