Berita

Tewas saman fitnah Anwar: Bukti Utusan Malaysia penipu, pembohong

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memenangi saman fitnah ke atas Utusan Malaysia, yang sedang mencipta sejarah di Malaysia sebagai akhbar yang paling banyak tewas dalam saman fitnah oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, ini membuktikan penipuan dan pembohongan terhadap pemimpin PR menjadi makanan harian Utusan Malaysia, sebagai lidah rasmi UMNO sehingga dilihat ke tahap lebih sebagai ‘Surat Tipu” berbanding Surat Khabar”.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang, Utusan Malaysia bukan satu-satunya “Surat Tipu” di Malaysia walaupun ia adalah contoh terburuk daripada kalangan media perdana UMNO/Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, semakin hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pemimpin UMNO/BN dan alat propaganda mereka, baik media perdana atau penyangak cybertroopers, akan bekerja lebih masa untuk mewujudkan pelbagai penipuan dan pembohongan.

“Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, tempat, umur atau jantina hendaklah bersatu pada PRU-13 nanti untuk menolak politik penipuan, pembohongan dan penyalahgunaan kuasa oleh UMNO/BN.

“Amat menyedihkan apabila bukan saja yang hidup, malah yang sudah meninggal dunia juga turut menjadi mangsa politik penipuan dan pembohongan sedemikian,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 80 hari ke PRU-13, semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendapati Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak memfitnah Anwar dalam satu laporan akhbar milik UMNO itu awal tahun lalu.

Hakim Datuk VT Singham dalam penghakimannya mendapati, laporan muka depan dan halaman 10 Utusan Malaysia pada 17 Januari itu menjejaskan reputasi Anwar dan menyebabkan ahli politik itu dicemuh dan dipandang hina.

Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM45,000 manakala ganti rugi akan ditetapkan pada 15 Februari.

Singham turut menegur Utusan kerana gagal mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab.

Dalam laporan muka depan bertajuk “Tolak Anwar – Hasan” itu, Utusan memetik kenyataan bekas pemimpin PAS, Datuk Hasan Ali yang mendakwa Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR itu mempertikaikan undang-undang anti-homoseksual di negara ini dan dikatakan mahu menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan aktiviti transgender (LGBT).

Ia turut menyiarkan satu lagi artikel yang bertajuk “Parasit ancam PAS, Anwar mesti ditolak” pada muka surat 10 hari yang sama.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, satu daripada contoh politik penipuan dan pembohongan jijik dan memalukan ditunjukkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir minggu lalu, apabila mendakwa apa yang beliau lakukan di dalam Projek IC atau Projek M dalam penipuan “kewarganegaraan-untuk-undi” di Sabah adalah “mengikut undang-undang” dan menuduh Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman melakukan lebih teruk dengan memberi kewarganegaraan kepada satu juta orang yang tidak layak di Semenanjung Malaysia” sebelum Merdeka.

Menurut beliau lagi, malah satu penghinaan apabila Mahathir bertanya: “Kenapa apa yang dia buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?”

“Saya sedih bukan saja untuk Tunku, tetapi semua pemimpin UMNO/Perikatan pada era Merdeka, memandangkan Mahathir bukan saja mencemar kenangan dan nama baik Bapa Malaysia tetapi juga semua rakan seperjuangan yang memperjuangkan kemerdekaan termasuklah Tun Razak, Tun Ismail, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan.

“Saya bertambah sedih, bukan saja terhadap fitnah ke atas Tunku, Razak, Ismail, Tan Cheng Lock dan Sambanthan oleh Mahathir, tetapi selepas empat hari, tiada langsung suara kerajaan dan kepimpinan UMNO/BN mempertahankan nama baik mereka. – Roketkini.com