Rencana

Unik dan hebatnya ‘Bangsa Johor’ Oleh Izmil Amri

SAYA lahir dan membesar di Pulau Pinang. Nun di sebelah Utara sana. Apalah yang saya tahu mengenai Johor selain pertembungan sekali-sekala dengan pemandunya di jalan kota raya Kuala Lumpur; tempat kami bertemu dan mencari rezeki.

Namun disebabkan jarak dan masa yang memisahkan kami, saya dan beberapa orang dari Johor yang saya kenali, izinkan saya menggunakan istilah manja, ‘Bangsa Johor’, selalunya tidak pernah ngam. Itu dan hakikat bahawa Johor ini adalah kubu kuat UMNO menambahkan lagi jarak antara kami.

Maka alangkah bertuahnya saya apabila dapat menjejak kaki ke bumi Johor baru-baru ini, dalam rangka memahami mentaliti masyarakat negeri Selatan itu sambil menjamah makanannya yang lazat. Ya, memang sedap masakan orang Johor.

Pada masa yang sama harus saya perjelaskan bahawa saya bukanlah asing sangat dengan sikap, perangai dan cara hidup orang Johor yang saya kenali. Mungkin ini stereotaip, namun saya melihat ada banyak persamaan gaya.

Malah saya punya ahli keluarga yang menetap di Johor, jadi separuh daripada kerja memahami ini sudah selesai, walaupun mungkin pemahaman itu tidaklah sempurna. Mentaliti orang Johor, bagi saya masih lagi satu misteri yang tidak dapat dirungkai.

Soalannya mudah; apa sebenarnya yang wujud di dalam kepala orang Johor ini sehingga begitu payah sekali bagi kebanyakan mereka untuk meninggalkan ajaran United Malays National Organisation? Itu sahaja.

Dengan kedudukan Johor sebagai negeri ‘barisan hadapan’ dalam strategi pilihan raya DAP dan Pakatan Rakyat, saya rasa soalan ini wajar ditekuni.

Di Johor menonton TV Singapura

Seorang anak kelahiran Johor yang mendiami di Kuala Lumpur seringkali menyebut negeri asalnya sebagai ‘Johor Darul Awesome’ untuk sebab yang agak jelas bagi mereka. Negeri mereka agak ‘awesome’ (hebat) untuk beberapa sebab. Antaranya yang paling tampak pastilah kebolehan menonton TV Singapura. Sebelum munculnya TV swasta dan kabel di Malaysia, siaran TV dari Singapura dilihat sebagai sesuatu yang amat hebat, khususnya bagi mereka yang tinggal di selatan Semenanjung.

Malah mitos ini saya jadikan satu harapan, yakni apabila ke Johor, saya nak ‘tengok TV Singapore’. Di Pulau Pinang, kalau bertuah, bolehlah tengok TV Siam. Tapi bukannya faham pun. Jadi menontonlah saya akan TV Singapura dan saya ketemu suatu kejanggalan yang
mungkin boleh menjawab beberapa persoalan saya mengenai ‘Bangsa Johor’.

Terdapat sebuah iklan drama dari seberang tambak sana yang memaparkan kisah kehidupan orang Melayu di kampung. Daripada iklan pendek itu saya melihat beberapa babak yang jelas nampak ‘kampung’nya dan ‘shot’ kamera yang menunjukkan wang kertas Malaysia.

Apa yang janggal ialah dialog pelakonnya (yang juga berasal dari Malaysia) keseluruhannya berlangsung dalam Bahasa Inggeris. Memang canggih, orang Melayu kampung bercakap ‘orang puteh’ dalam perbualan sehari-hari. Cuma yang menambah rasa pelik saya ialah sarikata lakonan mereka itu adalah dalam Bahasa Melayu pula.

Takut Cina?

Barangkali inilah dia pucuk pangkal kerisauan orang Johor dengan DAP yang dipandangnya sebagai berleluhurkan PAP (Parti Tindakan Rayat) yang kini memerintah Singapura.
Kerisauan untuk ‘jadi macam Singapura’ itu mungkin tercacah di setiap sanubari
rakyat Johor.

Mereka mungkin berfikir, kalau ‘jadi macam Singapura’ nanti bangsa Melayu terpinggir, agama Islam terpinggir, raja-raja hilang kuasa; itulah dia kerunsingannya. Runsing jika nanti ‘Cina berkuasa macam di Singapura’.

Namun apa yang buat saya rasa pelik dengan kerisauan di atas ialah bagaimana pula ‘Bangsa Johor’ ini begitu selesa dengan MCA. Soalan ini saya cetuskan sewaktu sesi soal jawab dalam wacana ‘Adakah Melayu akan hilang kuasa tanpa UMNO’ anjuran Roketkini.com dan DAP Johor yang diadakan di Skudai baru-baru ini. Soalan saya tidak dijawab jelas oleh panelis, barangkali sebab soalan saya amat susah atau mungkin terlalu mudah.

Soalan yang sama saya ajukan kepada kawan-kawan di Johor, dan saya menerima jawapan bahawa: ‘Cina MCA tunduk kepada UMNO’. Oh, tak salah rupanya jika satu kaum ditundukkan oleh kaum lain, asalkan kaum yang tunduk bukan kaum kita. Saya juga tak pasti sama ada itu sebahagian daripada ajaran agama.

Dongeng bahaya

Malah, ada pula cerita yang dikaitkan dengan agama. Sewaktu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bertugas dengan DAP, ada seorang ahli keluarga berpesan supaya ‘jangan bagi muka sangat kepada Cina DAP tu’ sambil menambah bahawa ‘Cina ini tidak boleh dipercayai’. Kenyataan beliau menerima sokongan daripada dua tiga kerat ahli keluarga lain.

Menurut insan itu lagi, ‘Cina ini berasal daripada keturunan Qabil yang telah membunuh Habil’. Kisah pertelingkahan Habil dan Qabil, anak Nabi Adam ini diceritakan sebagai kes pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil telah membunuh Habil atas rasa iri hatinya kerana korban Habil diterima Tuhan dan jodohnya juga jauh lebih lawa. Jadi dibunuhlah saudaranya sendiri dan menyesal lah dia.

‘Qabil bila dia bunuh Habil, maka menyesal dia dan menangislah dia bertahun-tahun lamanya’ jelas insan ini. ‘Punya lah teruk dia menangis sampai sepet matanya. Itu lah dia keturunan Qabil yang kemudiannya berkembang di tanah China’ katanya lagi.

Saya sekadar melopong tidak percaya. Entah dari buku bid’ah mana lah dikutipnya cerita itu. Tetapi sebagai seorang yang lebih muda dan ada pertalian saudara, saya senyumlah dan menerima sahaja nasihatnya supaya berjaga-jaga dengan tipu daya manusia.

Kebetulan juga orang itu kini sudah puluhan tahun menetap di Johor. Dan sikapnya itu membuat saya risau, walaupun itu membantu usaha saya untuk memahami mentaliti orang
Johor, atau mungkin lebih buruk lagi, stereotaip saya terhadap orang Melayu di negeri itu.

Tetapi persoalan saya tetap tidak terjawab; apa risaunya Melayu Johor dengan orang Cina? Kita sama-sama manusia makhluk ciptaan Allah dan kita juga sama-sama bertaraf rakyat
Malaysia.

Dalam wacana yang saya sebutkan tadi, memang ada seorang hadirin yang cuba menjelaskan bahawa Melayu Johor tidak takut dengan siapa-siapa, sambil menceritakan bahawa Baju Melayu Teluk Belanga yang Datuk Onn pakai itu juga asalnya dari gaya potongan yang dikenali sebagai ‘Gunting Cina’, dalam usahanya untuk membuktikan bahawa orang Melayu dan Cina di Johor ini sudah mesra hidup bersama.

Namun, dalam pada penjelasan itu pun, ada juga hadirin dalam wacana itu yang amat risau jika Pakatan Rakyat memerintah Johor.

UMNO kecilkan jiwa Melayu

Seorang sahabat saya yang melontarkan soalan terakhir pada sesi soal jawab wacana tersebut telah berkata benar. Dosa UMNO yang paling besar ialah membuatkan orang Melayu menjadi takut dan berjiwa kecil, seolah-olah ia kaum minoriti. Saya juga bersetuju dengannya, bahawa adalah amat menyedihkan untuk satu bangsa berfikir tentang pengekalan kuasa di saat ada lebih banyak persoalan yang harus difikirkan.

UMNO sudah tidak lagi menjaga kepentingan dan kemaslahatan orang Melayu; ini jelas. Yang dijaga ialah kepentingan dan kemaslahatan suku sakatnya sahaja. Itulah sebabnya kenapa orang Melayu di Pengerang terpaksa berpindah randah apabila tanah mereka diambil dan mata pencarian sejak turun temurun hilang dalam sekelip mata.

Melayu Johor seharusnya sedar akan hal ini dan mengambil semula hak dan kedaulatan rakyat daripada penguasaan UMNO yang sudah sekian lama membuat kita semuanya bergantung harap padanya semata-mata, seolah-olahnya kalau tidak UMNO ini kita akan mati kebuluran. Pemikiran yang sedemikian itu adalah ternyata palsu serta semakin tidak masuk akal.

Malaysia tanpa UMNO?

Justeru menjawab persoalan wacana tempoh hari dengan menganalisa unik dan hebatnya pemikiran ‘Bangsa Johor’ ini; sudah tentu Melayu TIDAK akan hilang hak tanpa UMNO.  Yang akan hilang kuasa hanyalah UMNO. Ini jelas dilihat dengan aktiviti meroyan tak tentu hala yang semakin meluas di kalangan orang UMNO yang panas bontot dengan perkembangan mutakhir ini.

Dilihatnya rakyat berhimpun besar-besaran di Kuala Lumpur dikatanya gambar itu semua bohong. Dilihatnya Utusan Malaysia kalah kes mahkamah pun dikatanya bohong lantas
dilancarkan tabung bantuan guaman untuk Utusan. Apabila orang mengajak berwacana dan berdiskusi untuk meleraikan segala salah faham, dia buat pekak telinga. Ini semuanya simptom orang takut hilang kuasa.

Memang UMNO akan hilang kuasa. Siapa gantikannya? Tentulah kita sebagai rakyat. Bukankah kuasa tetap di tangan kita kerana kita yang menentukan kerajaan yang memerintah.

‘Bangsa Johor’ memang cerdik dan berfikiran jauh; cuma buat masa ini mungkin mereka sedang mencari iltizam untuk menolak segala jenis penipuan dan korupsi yang telah menjadi darah daging pimpinan UMNO yang turut membarah di Johor.

Pastinya Melayu Johor jauh lebih berani untuk menolak pemimpin yang menjaga temboloknya sahaja dan tidak peduli kepentingan rakyat yang setiap hari ditipu dan cuba dibeli dengan bantuan sekupang-dua, sedangkan dia sudah kenyang mengaut harta berbilion ringgit.

Tidak lama lagi pasti ‘Bangsa Johor’ bersama rakyat pelbagai kaum, khususnya orang Melayu sendiri, untuk ubah ke arah Malaysia yang jauh lebih sejahtera, ke arah Malaysia tanpa UMNO. – Roketkini.com