Budaya

Fakulti Penjanaan Bebalisme: Sebutir satira Oleh Muhammad Nazreen

Pakar pengajian sosiologi terkemuka, Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas pernah mengemukakan konsep ilmiah bagi merungkai kitaran gejala pembodohan yang berlegar-legar di medan masyarakat. Beliau mencipta suatu istilah yang digelar ‘bebalisme’ di dalam bukunya, “Intelektual Masyarakat Membangun”  yang diterbitkan lewat tahun 1992.

Bebal tidak bermaksud bodoh dan jahil akan sesuatu keilmuan dan kemahiran. Bebal bermaksud sejenis penyakit yang merebak di kalangan orang cerdik pandai, yang tidak mahu memanfaatkan pengetahuan yang ada pada dirinya. Konsep ‘bebalisme’ menerangkan gejala pembodohan yang menjangkiti golongan bijak-pandai, kerana sikap mereka yang malas berfikir dan melakukan sesuatu perkara yang tergesa-gesa, khususnya kerana takut atau mahu mengampu pemerintah.

Kuasa hegemoni minda ‘lebih kurang’ yang bermula daripada zaman Dr Mahathir Mohamad kini meninggalkan penyakit ‘la’ih minda’, ‘bodoh sombong’, ‘egoistik’ dan kadang-kadang ‘biadap’ seperti seorang manusia yang menjerit ‘listen, listen, listen, listen…”.

Untuk mendalami ilmu wasilah tentang epidemik ‘bebalisme’, penulis bercadang untuk menghayati psiki ‘bebalisme’ yang ketara dan kelihatan di bawah projek penjanaan bebal Barisan Nasional.

Bayangkan jika ada iklan kemasukan pusat pengajian tinggi sebegini:

Fakulti Penjanaan Bebalisme:  Sarjana Muda Mahathirisme

Subjek Tahun Pertama

a)   Penyalahgunaan institusi awam

Pihak polis boleh memukul petugas media kerana mereka akan mencetuskan ‘fitnah’ kepada pemerintahan lemah lembut Barisan Nasional. Contoh : – Keganasan polis terhadap petugas media semasa demonstrasi BERSIH 3.0

b)   Pemisahan kuasa yang tidak jelas

Badan eksekutif, legislatif dan judisiari merupakan jentera kempen Barisan Nasional. Contoh: – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Ali Hamsa mengeluarkan kenyataan suapay penjawat awam menyokong Barisan Nasional.

c)   Mega-projek yang separuh masak/gagal

Projek yang dibiayai wang rakyat diberikan kepada kroni-kroni dan hasilnya, mega-projek tersebut menyebabkan kerugian yang besar. Contoh: – Pusat Fidlot Kebangsaan atau NFC yang dibiayai sebanyak RM250juta bagi menternak lembu digunakan untuk membeli kondominium mewah.

Subjek Tahun Kedua

a)   Kronisme dan nepotisme

Tender untuk projek-projek besar diserahkan kepada beberapa ‘individu’ yang menjadi monopoli utama yang mengawal harga barangan. Contoh:- Aset ekonomi seperti Proton-DRB Hicom (industri automotif negara) , Bank Muamalat sebagai akaun rasmi Universiti Islam Antarabangsa, BERNAS (industri beras) dan Malakoff (industri jana tenaga) dimiliki oleh Syed Mokhtar AlBukhary atas kapasiti beliau sebagai kawan baik Perdana Menteri, seperti juga Vincent Tan dan Ananda Krishnan, sejak zaman Mahathir.

b)   Kuasa ‘daulah’ bagi menutup kepincangan kerajaan.

Pendedahan skandal rasuah, penyalahgunaan wang akan menerima balasan ‘saguhati’ dari pihak kerajaan Barisan Nasional. Contoh: – Rafizi Ramli dikenakan dakwaan di bawah akta BAFIA (Banking and Financial Institution Act) kerana mendedahkan penyalahgunaan dana Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

c)   Monopoli media massa

Semua media utama hanya menyajikan liputan kepada acara-acara Barisan Nasional sahaja. Manakala, semua acara parti oposisi dihina, dimaki dan difitnah tanpa memberikan sesaat pun peluang untuk pemimpin oposisi menjelaskan hal sebenar. Malah Ketua Menteri dan Menteri Besar yang sah di negeri Pakatan tidak diberi ruang dalam media massa. Contoh: – Utusan Malaysia, TV3 dan RTM menfitnah pemimpin oposisi, dan Utusan sebagai lidah rasmi UMNO yang sering kalah saman masih terus menabur fitnah kerana dilindingi oleh kerajaan BN.

Subjek Tahun Akhir.

a)   “Debat bukan budaya kita”

Acara interaksi dua-hala di antara Perdana Menteri dan Ketua Oposisi untuk membincangkan hal-ehwal polisi negara dan kerajaan adalah sama sekali bertentangan dengan kerukunan adat dan budaya orang kita. Tetapi, debat di kalangan pimpinan mahasiswa dibenarkan, malah digalakkan. Contoh: – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak pelawaan Dato Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat atas kepentingan awam.

b)   Akademia ‘kangkong’

Untuk menyenangkan tuan empunya majikan, para akademia akan dihukum sekiranya dapatan kajian mereka bertentangan dengan citarasa sang penguasa tetapi mereka akan diberikan ganjaran sekiranya mereka berjaya membodek mereka. Contoh : – Azrul Azwar, pakar ekonomi digantung tugas kerana memberikan dapatan ekonomi sekiranya Barisan Nasional kalah di dalam pilihan raya ke 13 manakala Prof. Aziz Bari digantung tugas daripada UIA kerana mengeluarkan pendapat akademik tentang penyalahgunaan kuasa yang diperuntukkan perlembagaan.
c) Mahasiswa mandom
Hanya di Malaysia, pencapaian universiti-universiti diukur menerusi program-program mengarut, yang sebenarnya boleh dijayakan oleh orang biasa sahaja. Tambahan pula, gerakan mahasiswa yang berjuang menuntut hak asasi mereka dikatakan ‘membuang masa’. Contoh: – Universiti di dalam negara berebut-rebut menganjurkan acara susun kek, menara coklat mahupun berdebat yang paling lama, paling tinggi dan paling ramai penyertaan untuk sama-sama dibanggakan.

Peringatan

Sekiranya, anda sebagai mahasiswa mahu menuntut ‘sistem pendidikan percuma’, ‘kebebasan akademik’, ‘hak mahasiswa dan pensyarah untuk berpolitik’ mahupun ‘kuasa autonomi untuk membuat keputusan dalam universiti’, maka anda tidak layak mengikuti kursus ini serta tidak layak menyertai mana-mana universiti yang ada.

Kejayaan

Sekiranya anda lulus prasyarat-prasyarat di atas, kuasa yang dianugerahkan kepada senat universiti ini mengisytiharkan bahawa anda telah berjaya memenuhi kriteria yang membawa gelaran: Saraja Muda Mahathirisme, Fakulti Penjanaan Bebalisme daripada Universiti Bebal Nasional.

Nota kaki: Maka Mahathirisme itu bukan sekadar korupsi, kronisme atau konspirasi membawa masuk jutaan warga asing ke Malaysia, ia sebenarnya satu lempangan minda yang menjadikan generasi Malaysia hari ini masih kebingungan kerana masih was-was sama ada rasuah itu haram atau tidak, sama ada fitnah itu diharamkan atau dihalalkan oleh Islam, dan sama ada salah atau tidak pemerintah menindas rakyat. – Roketkini.com