Berita

Jenayah kian meningkat, wujudkan pasukan polis bantuan

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Cadangan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mewujudkan pasukan polis bantuan di bawah kerajaan negeri wajar dipertimbangkan semula sesuai dengan keadaan jenayah yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

ADUN Bukit Tunku, Lau Weng San dalam kenyataan medianya menyebut bahawa cadangan itu pernah diutarakan dua tahun lalu namun sekadar menerima respon lemah daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sambil menyifatkan kononnya kadar jenayah di Selangor kian menurun.

“Realitinya, biarpun statistik semakin menurun, rakyat masih tidak merasakan mereka berada dalam keadaan yang lebih selamat dan jenayah masih lagi tinggi di tempat tinggal dan kawasan kerja mereka,” ujar Lau Weng San.

“Daripada terus mempersalahkan media kerana “mensensasikan” berita jenayah, bukankah lebih baik jika kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan PBT untuk memerangi masalah jenayah,” katanya lagi.

Menurut beliau, nisbah anggota polis kepada rakyat yang disyor oleh Interpol adalah satu anggota polis untuk 250 penduduk. Namun berpandukan statistik tahun 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, dengan hanya 30% daripadanya yang bertugas pada satu sessi; yang menjadikan dalam satu sessi nisbahnya ialah 1:1,424.

Beliau menambah, kerajaan negeri pernah menawarkan untuk menyediakan pasukan polis bantuan sejak Julai 2010 bagi mengatasi ketidakseimbangan dalam nisbah polis dengan penduduk.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga mengusulkan perkara itu pada 2009 tetapi masih belum mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri walaupun peruntukan sudah disediakan dalam belanjawan 2013,” katanya. – Roketkini.com