Berita

Hishammuddin penyebab kejatuhan BN pada PRU-13?

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Tidak ada pemimpin UMNO lain, kecuali hanya Ketua Propagandanya, Datuk Ahmad Maslan yang secara terbuka menyatakan keyakinan BN akan menang dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tidak ada pemimpin BN lain yang menyatakan keyakinan sedemikian termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung yang dipetik dalam laporan The Malaysian Insider.

“Saya hairan bagaimana hanya Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan BN yakin menang dua pertiga majoriti di Parlimen iaitu lebih baik daripada PRU 2008.

“Antara alasan Ahmad Maslan adalah kerana rekod memerangi rasuah dan mengurangkan jenayah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 75 hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, kenyataan Ahmad itu cuba menolak pandangan terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) bahawa 78 peratus undian menyatakan integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN memberi kesan kepada sokongan pengundi pada PRU-13 nanti.

Menurutnya, beliau hairan macam mana pemimpin UMNO/BN boleh berbangga dengan rekod kegagalan Najib memerangi rasuah dan mengurangkan jenayah selama empat tahun pemerintahannya.

Katanya, jika merujuk kepada kepada satu indikator pencegahan rasuah iaitu laporan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) daripada 1995-2012 menunjukkan rekod selama empat tahun pemerintahan Najib adalah yang paling korup berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

“Mengikut laporan CPI TI pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara dan menjunam ke- 37 pada 2003 ketika Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri dan terus menjunam ke-47 apabila Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan Perdana Menteri pada 2008.

“Dalam tempoh empat tahun Najib menjadi Perdana Menteri, CPI TI Malaysia menjunam lebih teruk ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 pada 2011 dan ke-54 pada 2012.

“Manakala dari segi jenayah, kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun,  William Yau Zhen Zhong, yang hilang membuktikan hakikat yang menyakitkan mengenai Malaysia, bahawa selain pemimpin dan Menteri UMNO/BN yang terpelihara keselamatan mereka, negara  ini tidak selamat, sama ada untuk warganya, pelancong, pelabur malah untuk kanak-kanak seperti William,” katanya.

Beliau berkata, sebelum tsunami politik 2008, Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO menonjol sebagai seorang daripada pemimpin UMNO/BN yang menghidap sindrom penafian dalam pelbagai episode julang keris yang dilakukan menjadi penyebab terbesar kejatuhan UMNO/BN pada 2008.

“Hishammuddin sekali lagi akan menjadi punca kejatuhan UMNO/BN pada PRU-13 kerana sekali lagi menghidap sindrom penafian apabila menafkan kadar jenayah yang semakin buruk dan membimbangkan sejak empat tahun lalu,” katanya. – Roketkini.com