Berita

UMNO/BN terdesak, guna Ketua Pengarah JASA sebar propaganda tipu

KUALA LUMPUR, 30 JAN: UMNO/Barisan Nasional (BN) kini semakin terdesak sebab itu terpaksa menggunakan khidmat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan untuk menyebarkan propaganda bahawa UMNO/BN menjelang PRU-13 kerana propagandis mereka kurang berwibawa.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, propaganda UMNO/BN akan memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU-13 semakin tidak dipercayai, sebaliknya rakyat lebih cenderung memilih Pakatan Rakyat (PR) untuk mentadbir Putrajaya kerana mereka mahu sebuah kerajaan yang amanah, jujur, berwibawa, tidak rasuah dan mampu berlaku adil kepada semua kaum di negara ini.

“Demokrasi berparlimen di Malaysia akan lebih sihat dan matang jika majoriti dua pertiga menjadi mustahil untuk mana-mana perikatan, kerana itu adalah perisai untuk memastikan tidak akan berulang penguasaan merosakkan politik UMNO yang mengenakan budaya politik “Listen, listen, listen” terhadap parti politik lain di dalam Barisan Nasional.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinan tertinggi UMNO/BN memberikan bukti terbaik bahawa mereka tidak yakin akan memperbaiki pencapaian pada Pilihan Raya Umum 2008, sebab itu melambatkan PRU-13,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 72 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sebaliknya Najib kini mencatat nama di dalam sejarah menjadi Perdana Menteri paling lama di Malaysia tanpa mandat rakyat.

Menurutnya, Najib mahu mengelak daripada mencipta satu lagi sejarah hitam, menjadi Perdana Menteri pertama yang diundi keluar daripada Putrajaya pada PRU-13 atau menerima nasib sama dengan Tun Abdullah ditendang keluar oleh Mahathir daripada jawatan Perdana Menteri kerana gagal membaiki pencapaian UMNO/BN pada 2008 dan memperoleh majoriti dua pertiga pada PRU-13.

“PRU-13 adalah penentu nasib sama ada kerajaan persekutuan di Putrajaya akan dimenangi BN atau Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada apa yang terjadi sepanjang tempoh kempen pilihan raya nanti.

“Undian terbaru yang dilakukan Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) antara 26 Disember dan 11 Januari lalu adalah yang paling menarik, kerana ia menunjukkan perbezaan antara mereka yang percaya BN boleh mengalahkan PR pada PRU-13 berkurangan daripada 25% pada Disember 2011 kepada 5% pada Januari 2013.

“Responden yang percaya Pakatan Rakyat boleh menawan Putrajaya pada PRU-13 meningkat dengan tetap daripada 18% pada Disember 2011 kepada 21% pada April 2012 kepada 21% pada Januari 2013,” ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata, responden yang percaya BN boleh memenangi PRU-13 menurun daripada 43% pada Disember 2011 kepada 49% pada April 2012 kepada 44% pada September 2012 dan 42% pada Januari 2013.

Manakala, responden yang tidak membuat keputusan atau tidak pasti siapa yang boleh menang pada PRU-13 jatuh daripada 39% pada Disember 2011 kepada 30% pada April 2012 dan 26% pada September 2012 dan 21% pada Januari 2013.

Dalam senario Umcedel ini, Kit Siang berkata, apa yang perlu dilakukan PR untuk menewaskan BN pada PRU-13 adalah memikat lebih daripada lima peratus responden yang tidak membuat keputusan dan tidak pasti, yang berjumlah 21% pada Januari 2013.

Katanya, walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin BN akan mempertahankan semua kerusi Parlimen, walhal Sarawak adalah satu daripada tiga “negeri deposit” termasuklah Sabah dan Johor yang BN boleh kehilangan lebih daripada satu pertiga kerusi Parlimen berjumlah 83 kerusi, iaitu PR memenangi sekurang-kurangnya 28 kerusi untuk mewujudkan perubahan kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada PRU-13. -Roketkini.com